Jika anda sedang mencari sebuah komputer riba gaming dengan spesifikasi berkuasa tetapi tidak mahu membelanjakan berbelas ribu Ringgit untuknya, ASUS Malaysia hari ini mengumumkan bahawa komputer riba gaming ASUS TUF Gaming A14 mereka yang dikuasakan sepenuhnya oleh komponen-komponen AMD telah memasuki pasaran tempatan.
Komputer riba ini hadir dengan panel skrin IPS 14 inci dengan resolusi 2560×1600 dengan kadar segar semula 165Hz dan nilai kecerahan 400 nits. Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen AI MAX+ 392 bersama-sama dengan memori DDR5 32GB dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB.

Dari segi sokongan grafik pula, komputer riba ini juga tiba dengan penggunaan cip grafik bersepadu AMD Radeon 8060S yang cukup berkuasa untuk menggerakkan permainan moden pada resolusi 1080p dan 1440p dengan tetapan grafik dan kadar segar semula yang tinggi.

ASUS TUF Gaming A14 ini adalah sebuah komputer riba gaming yang padat tetapi masih hadir dengan sejumlah palam yang banyak, termasuklah dua palam USB 3.2 Type-A, dua palam USB 3.2 Type-C, satu palam HDMI 2.1 dan satu pembaca kad MicroSD.

Ia juga merumahkan sebuah bateri 73WHr yang dilihat menawarkan penggunaan hampir sepanjang hari, dan juga hanya seberat 1.48kg sahaja, membolehkannya dibawa bersama anda kemana sahaja untuk tujuan produktiviti mahupun gaming.
ASUS Malaysia mengatakan bahawa komputer riba ASUS TUF Gaming A14 ini sudahpun mula dijual di pasaran tempatan pada harga RM7599 melalui kedai atas talian ASUS Online Store ataupun gedung digital di Shopee dan Lazada.


