Google dilaporkan sedang membangunkan sebuah komputer riba Google Pixel dengan spesifikasi kelas mercu. Komputer riba ini menggunakan kod nama Snowy dengan ia dilihat dalam kelas yang sama seperti MacBook Pro dan Dell XPS.

Ia masih lagi akan menggunakan sistem operasi ChromeOS dan sekiranya dilancarkan kelak ia akan menjadi kali pertama sejak 2017 komputer riba Pixel dilancarkan oleh Google. Siri produk ini ditamatkan pada tahun tersebut dan digantikan pula oleh siri Pixelbook. Kemudian siri Pixelbook juga ditamatkan pada tahun 2020.
Laporan ini muncul serentak dengan laporan ChromeOS akan dipindahkan ke dalam Android bagi membolehkan tablet dengan sistem operasi lebih baik bersaing dengan iPad. Persoalannya adalah sama ada ChromeOS baharu mampu menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih baik. Pada ketika ini ia bukanlah sistem operasi yang mampu memberikan persaingan serius kepada Windows dan macOS.

