GEORGE TOWN – Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), Chow Kon Yeow meminta Datuk Seri Rafizi Ramli menghormati keputusan yang dibuat perwakilan parti itu susulan kenyataan bekas Menteri Ekonomi berkenaan kedudukan DAP dalam kerajaan.
Beliau berkata, perkara itu merupakan asas yang perlu difahami semua pihak khususnya selepas Rafizi sebelum ini didakwa menyentuh mengenai kedudukan DAP yang sudah berada dalam kerajaan.
“Minta beliau menghormati DAP dan keputusan yang dibuat oleh para perwakilan.
"Itu adalah perkara asas, bukankah begitu?” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RSN 2040 (Kajian Semula) di sini pada Isnin.
Terdahulu, Rafizi yang juga Presiden Parti Bersama mendakwa keputusan DAP kekal dalam Kerajaan Perpaduan sudah dijangka kerana agak sukar bagi mana-mana parti politik yang sudah ‘menikmati’ kuasa untuk melepaskannya begitu sahaja.
Tambah Rafizi, DAP kini mempunyai ramai wakil dalam pelbagai kedudukan sama ada sebagai menteri, timbalan menteri, ketua menteri, exco, wakil rakyat dan ahli majlis pihak berkuasa tempatan.
Sementara itu, mengulas kenyataan Rafizi mengenai Pulau Pinang yang berdepan kekangan tanah sehingga menjejaskan potensi hasil negeri berbanding negeri yang mempunyai keluasan lebih besar seperti Johor, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri mempunyai beberapa pendekatan bagi mengoptimumkan penggunaan tanah sedia ada.
Menurutnya, rancangan pembangunan tanah termasuk proses pengambilan dan pembukaan tanah bagi pelbagai kegunaan bukan hanya untuk sektor perindustrian.
“Sentiasa dalam proses pengambilalihan, pembukaan tanah-tanah untuk industri dan pelbagai penggunaan bukan sekadar industri sahaja.
“Pengkelasan desa ke bandar pun satu kaedah untuk menzonkan semula kegunaan tanah di negeri Pulau Pinang,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan negeri perlu mengoptimumkan penggunaan tanah yang ada bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberikan impak tertinggi kepada negeri.
“Optimum dan maksimumkan tanah-tanah yang sedia ada untuk kegunaan yang membawa impak yang tertinggi untuk pembangunan negeri.
"Kita perlu bekerja dalam kekangan yang dihadapi oleh kerajaan negeri. Kita ada kelebihan, kita ada kekurangan, jadi kita perlu rancang mengikut kekuatan dan kekurangan kita,” katanya.
Menurutnya, kawasan Seberang Perai juga mempunyai potensi untuk menyumbang kepada perancangan pembangunan negeri berikutan masih terdapat tanah yang boleh dibangunkan.
“Masih banyak,” katanya ketika ditanya sama ada Seberang Perai masih mempunyai tanah yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan.
Menurutnya, perkara berkenaan boleh membantu menjayakan perancangan pembangunan negeri sehingga 2040.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut mengulas mengenai isu kehadiran rendah perwakilan pada Kongres DAP yang berlangsung pada Ahad yang dilaporkan kurang daripada 50 peratus.
Menurutnya, jumlah kehadiran berkenaan masih memenuhi syarat korum yang ditetapkan bagi memastikan persidangan parti dapat dijalankan dengan sah.
“Korum yang ditetapkan bagi memastikan persidangan dapat dijalankan dengan sah ialah 25 peratus daripada jumlah perwakilan yang layak.
"Jadi, kita mempunyai lebih 50 perwakilan dan telah memenuhi syarat korum yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata, kadar kehadiran pada pemilihan parti lazimnya kira-kira 60 hingga 70 peratus manakala dalam pilihan raya umum juga tidak semua pengundi keluar mengundi.
“Walaupun dalam pemilihan parti, jumlah kehadiran kita biasanya kira-kira 60 hingga 70 peratus. Dalam pilihan raya umum pun, jumlah keluar mengundi sekitar 65 hingga 70 peratus.
"Jadi, adakah itu bermakna pilihan raya umum kita tidak sah hanya kerana kadar keluar mengundi hanya 65 peratus? Tidak kan?. Itu perkara biasa,” katanya.






