Konflik Asia Barat: Mara ada pelan evakuasi bawa pelajar pulang jika krisis memuncak - Asyraf Wajdi

LocalPolitics
8 Apr 2026 • 2:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Asyraf Wajdi (tiga dari kanan) menyempurnakan simbolik perasmian pada Persidangan Pendidikan Antarabangsa Mara pada Rabu.

KLANG – Majlis Amanah Rakyat (Mara) sudah mempunyai pelan pemindahan (evakuasi) bagi membawa pulang pelajar tajaan di Asia Barat sekiranya keadaan memerlukan berikutan ketidaktentuan situasi keselamatan di rantau berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelaksanaan pelan itu bergantung kepada situasi semasa serta penyelarasan rapat dengan Wisma Putra.

"Kalau ada apa-apa perkembangan yang boleh menjejaskan keselamatan, kita akan ambil tindakan sewajarnya mengikut nasihat Wisma Putra,” katanya ketika ditemui selepas perasmian penutup Persidangan Pendidikan Antarabangsa Mara di sini pada Rabu.

Menurutnya, Mara sentiasa berwaspada dan memantau rapat perkembangan semasa di Asia Barat bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa terjamin.

Setakat ini, pelajar tajaan Mara di rantau itu masih meneruskan pengajian seperti biasa tanpa sebarang gangguan serius.

Beliau berkata, pelajar Mara di Asia Barat ditempatkan antaranya di Jordan dan Mesir dengan anggaran kira-kira 400 orang.

Mengulas kebimbangan ibu bapa, Asyraf Wajdi menegaskan, Mara mengikuti rapat perkembangan semasa dan memberi keutamaan kepada keselamatan pelajar.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan kebajikan pelajar sentiasa diberi keutamaan dengan pemantauan berterusan termasuk melalui pegawai Mara yang ditempatkan di negara terbabit.

Ditanya kemungkinan mereka enggan pulang sekiranya diarahkan, Asyraf Wajdi berkata, semua pelajar tajaan Mara terikat dengan syarat dan peraturan yang ditetapkan.

"Saya tidak rasa pelajar Mara akan ingkar kerana mereka tertakluk kepada semua syarat tajaan," tambah beliau.