
KUALA LUMPUR — Majlis Amanah Rakyat (Mara) bersedia membantu seorang pelajar cemerlang, Fakhrul Iman Zainudin, 18, yang memperoleh keputusan 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 untuk melanjutkan pengajian ke Jordan.
Pengerusinya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau mencadangkan Fakhrul menyertai program khas ke Jordan yang disediakan Majlis Amanah Rakyat kepada pelajar tahfiz cemerlang.
Menurutnya, Fakhrul yang juga hafiz 30 juzuk al-Quran hadir bersama ibu bapanya ke pejabat beliau di Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) bagi meneroka peluang pembiayaan pendidikan Mara.
Fokus Kepada Kewangan Islam Masa Depan
“Saya amat teruja melihat slip keputusan Fakhrul dan terus mencadangkannya supaya menyertai program khas ke Jordan yang Mara sediakan bagi pelajar tahfiz cemerlang untuk memperdalami bidang syariah dengan pengkhususan dalam ekonomi dan kewangan Islam.
“Saya sempat berkongsi pengalaman saya dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam sebelum terlibat politik, agar Fakhrul lebih terbuka mindanya dan tidak hanya melihat bidang syariah, tetapi perluaskan skop kepada bidang kepakaran kewangan syariah yang diperlukan negara masa depan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Beliau berkata, cadangan itu juga selari dengan kedudukan Malaysia sebagai antara peneraju industri perbankan dan kewangan Islam di peringkat global.
Pesanan Jangan Lupa Jasa Ibu Bapa
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan Fakhrul supaya tidak melupakan pengorbanan ibu bapanya yang membesarkannya hasil perniagaan pisang goreng.
“Insya-ALLAH satu hari nanti bila Fakhrul berjaya, jangan lupa ayah dan mak yang memerah keringat hanya dengan hasil jualan pisang goreng membesarkan Fakhrul.
“Ingat, dengan ilmu sahaja yang boleh mengubah kehidupan keluarga, dengan izin ALLAH SWT. Demikianlah pesanan akhir saya kepada Fakhrul sebelum saya ambil kesempatan menguji atau ‘tebuk’ hafazan al-Quran beliau,” ujarnya.
Beliau turut berseloroh bahawa Mara hanya akan mempertimbangkan permohonan Fakhrul sekiranya berjaya melepasi ujian tersebut.
“Kalau berjaya ujian tebuk ni, baru Mara pertimbangkan untuk lulus permohonan Fakhrul!” katanya.
Kisah Tular Sentuh Hati Ramai
Sebelum ini, media melaporkan kisah Fakhrul yang merupakan anak kepada peniaga pisang goreng dan laksa menjadi perhatian selepas video beliau mengambil keputusan SPM bersama bapanya tular di media sosial.
Kegigihan ibu bapanya mencari rezeki menjadi pendorong utama kejayaan beliau meraih keputusan cemerlang 11A+, sekali gus muncul pelajar terbaik di Sekolah Menengah Agama Telok Kemang, Port Dickson. – The Malaysian Update
The post Anak Penjual Pisang Goreng 11A+ SPM Dapat Perhatian Mara, Dicadang Lanjut Pengajian Ke Jordan appeared first on The Malaysian Update.


