Konflik Asia Barat: Penguatkuasaan antara agensi kekang ketirisan, penyeludupan - Armizan

LocalPolitics
14 Mar 2026 • 12:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Armizan ketika ditemui pemberita semasa sidang akhbar sempena Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah dan Advokasi Kepenggunaan di Dewan Serbaguna Sembulan, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Mesyuarat Jemaah Menteri telah mengarahkan pengaktifan serta-merta Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof manakala kementeriannya akan bertindak sebagai urus setia.

"Pengaktifan jawatankuasa ini adalah susulan daripada peningkatan risiko ketirisan dan penyeludupan barang kawalan khususnya bahan api diesel dan petrol akibat konflik Asia Barat yang telah melonjakkan harga minyak global.

"Peningkatan risiko ketirisan dan penyeludupan di Malaysia berlaku kerana harga runcit diesel dan petrol di pam masih jauh lebih rendah berbanding harga pasaran walaupun pelarasan kenaikan harga telah dibuat bagi tempoh 12 hingga 18 Mac ini.

"Pelarasan harga berkenaan terpaksa dibuat lanjutan daripada peningkatan tinggi harga minyak Brent dunia pada paras antara AS$90 hingga melebihi AS$100 setong minggu sebelumnya berbanding antara AS$60 hingga AS$70 setong sebelum konflik bermula," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah dan Advokasi Kepenggunaan di Dewan Serbaguna Sembukan, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, risiko ketirisan dan penyeludupan juga lebih tinggi di Sabah dan Sarawak berikutan pemberian subsidi pukal diesel yang masih diteruskan di kedua-dua negeri tersebut.

"Bagi kedua-dua negeri ini, harga pam diesel hanya RM2.15 seliter berbanding harga pam diesel di Semenanjung Malaysia iaitu RM3.92 seliter, manakala harga pasaran Automatic Pricing Mechanism (APM) semasa mencecah RM4.30 seliter.

"Ini bermaksud rakyat di Sabah dan Sarawak membeli diesel di pam kurang separuh daripada kos sebenar. Implikasi tanggungan subsidi kerajaan ini akan menjadi semakin besar sekiranya aktiviti penyelewengan bahan api dalam negara dan penyeludupan ke luar sempadan tidak dibanteras.

"Implikasi kewangan sedia ada subsidi pukal diesel di Sabah dan Sarawak sememangnya telah amat besar. Sebagai contoh, bagi tahun 2025, subsidi pukal diesel yang ditanggung kerajaan bagi kedua-dua negeri ini mencecah RM2 bilion iaitu RM924 juta bagi Sabah dan RM1.08 bilion bagi Sarawak.

"Berdasarkan kadar jumlah penggunaan yang sama dan harga pasaran semasa, implikasi tanggungan subsidi kerajaan ini akan mencecah RM4.6 bilion bagi tahun 2026," jelasnya.

Sehubungan itu, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, dengan mengambil kira ketidaktentuan konflik Asia Barat serta turun naik harga minyak global, kerajaan memutuskan untuk memperkasa penguatkuasaan merentasi semua agensi berkaitan.

"Selain kawasan sempadan dan lokasi panas di seluruh negara, fokus utama adalah negeri Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira faktor subsidi pukal diesel yang masih berkuat kuasa serta jurang harga subsidi, harga pam dan harga pasaran yang amat besar sehingga melebarkan ruang risiko ketirisan dan penyeludupan.

"Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan melalui Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613)," tegasnya.