SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencadangkan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) di negeri ini ditangguhkan susulan kos tinggi serta mengambil kira keadaan ekonomi semasa dan krisis di Asia Barat.
Baginda bertitah, penangguhan itu juga wajar dibuat sehingga projek Stadium Shah Alam siap sepenuhnya bagi memastikan penganjuran berjalan lancar.
"Beta berpandangan lebih wajar penganjuran tersebut ditangguhkan sehingga krisis di ‘Middle East’ selesai dan sehingga Stadium Shah Alam siap sepenuhnya," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Bangunan DUN Selangor di sini pada Isnin.
Dalam masa sama, baginda turut menitahkan penganjuran Piala Sultan Selangor bagi perlawanan bola sepak tahunan antara Selangor dan Singapura untuk tahun ini dibatalkan.
Bagaimanapun, baginda berkenan mencadangkan satu kejohanan bola sepak Piala Jubli Perak dianjurkan melibatkan pelajar bawah umur 15 tahun dari seluruh daerah di Selangor.
Menurut baginda, penganjuran itu penting bagi memupuk bakat muda selain menyemai semangat kesukanan di peringkat akar umbi, selari dengan populariti sukan bola sepak dalam kalangan rakyat negeri ini.
Dalam perkembangan sama, Sultan Sharafuddin turut menitahkan sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan baginda dilaksanakan secara sederhana tanpa pembaziran.
Baginda bertitah, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kegawatan ekonomi global serta kesan yang dirasai rakyat ketika ini.
Sehubungan itu, baginda memutuskan majlis santapan malam diraja di Istana Alam Shah, Klang tidak diadakan selain membatalkan pertunjukan bunga api serta konsert diraja atau konsert rakyat.
Sebaliknya, baginda berkenan supaya hanya dua atau tiga majlis jamuan teh diadakan di Padang Mahkota, Istana Alam Shah dengan menjemput kira-kira 8,000 rakyat termasuk golongan memerlukan, penjawat awam serta pesara yang banyak berjasa kepada negeri.
Baginda turut berkenan mengadakan majlis jamuan teh bersama wakil syarikat asing yang melabur di Selangor sebagai menghargai sumbangan mereka kepada pembangunan negeri.
"Beta mahu segala perbelanjaan dilaksanakan secara berhemah, telus dan berintegriti serta penjimatan digunakan untuk membantu rakyat yang susah," titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut menggalakkan mana-mana pihak yang ingin menaja program sambutan Jubli Perak supaya menyalurkan sumbangan kepada Yayasan Sultan Selangor atau badan kebajikan lain bagi membantu golongan memerlukan.






