SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah, tohmahan dan berita palsu khususnya melibatkan institusi agama Islam di negeri ini.
Baginda bertitah, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja boleh merosakkan nama baik institusi agama, malah berisiko menghakis kepercayaan umat Islam terhadap institusi berkenaan.
"Semak terlebih dahulu kesahihan sesuatu isu sebelum menyebarkannya, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan kepentingan peribadi atau pihak tertentu," titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Isnin.
Baginda turut menegaskan tidak akan teragak-agak menitahkan pihak berkuasa agama mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah dan berita palsu.
Dalam masa sama, baginda menitahkan pihak polis supaya lebih peka, pantas dan bertindak segera terhadap sebarang laporan berkaitan isu agama, kaum dan institusi raja.
Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan kebimbangan terhadap senario semasa yang menyaksikan ahli politik terlalu banyak berpolitik sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Titah baginda, keadaan itu boleh mencetuskan perpecahan, sedangkan ketika ekonomi tidak menentu, semua pihak seharusnya berganding bahu demi kepentingan rakyat.
"Ketepikan perbezaan pandangan politik dan fokus kepada usaha memajukan negara serta memastikan kehidupan rakyat tidak terus tertekan," titah baginda.
Baginda turut meminta semua pihak menggalas tanggungjawab dengan penuh amanah, jujur dan ikhlas bagi memastikan Selangor terus maju, makmur dan sejahtera.
Dalam pada itu, baginda turut menekankan peranan penting pembangkang di DUN Selangor sebagai mekanisme semak dan imbang.
Baginda menasihatkan pembangkang memainkan peranan secara berkesan dalam memantau dasar dan pelaksanaan kerajaan negeri supaya setiap tindakan dilaksanakan secara telus, berintegriti, efisien serta mengutamakan rakyat.
"Berbahaslah dengan fakta yang tepat, buat kajian mendalam dan jangan memutar-belitkan fakta demi meraih populariti murahan,” titah baginda.
Baginda turut menggesa agar idea dan pandangan bernas terus dikemukakan oleh semua pihak bagi memastikan pembangunan serta kemajuan negeri Selangor dapat diperkasa demi kesejahteraan rakyat.





