Kong Choon hargai jasa Anthony Loke, fokus berkhidmat di Chennah

LocalPolitics
2 Aug 2026 • 4:26 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kong Choon hargai jasa Anthony Loke, fokus berkhidmat di Chennah

KUALA PILAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah, Siow Kong Choon menzahirkan penghargaan kepada Anthony Loke Siew Fook atas jasa dan khidmat beliau sepanjang tiga penggal mewakili kawasan tersebut.

Kong Choon berkata, selepas selesainya tempoh berkempen dan Pilihan Raya Negeri (PRN), tumpuan utamanya kini adalah untuk memulakan khidmat kepada penduduk Chennah.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh pengundi di Chennah yang telah menilai tanggungjawab mereka serta memberikan sokongan dan kepercayaan kepada saya.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Anthony Loke atas jasa dan khidmat beliau sepanjang tiga penggal di Chennah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, hari ini.

Kong Choon berkata, kempen PRN kali ini bukan sesuatu yang mudah, namun beliau bersyukur dan gembira kerana mendapat sokongan serta dokongan jentera yang begitu padu sehingga berjaya menamatkan tempoh berkempen dengan baik.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera Barisan Nasional (BN), MCA dan pasukannya dari Chennah serta seluruh negara yang turun membantu sepanjang tempoh berkempen.

“Bagi saya, apa yang paling penting, kempen dan PRN telah selesai. Tugas utama saya sekarang adalah untuk meneruskan serta memulakan khidmat kepada penduduk di Chennah. Terima kasih,” katanya.

Kong Choon berjaya memenangi DUN Chennah selepas memperoleh 5,726 undi, menewaskan penyandang Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP yang meraih 5,038 undi.

Beliau menang dengan majoriti 688 undi, berbanding Anthony Loke yang mencatat majoriti 2,200 undi pada PRN Negeri Sembilan Ke-15 pada 2023. UTUSAN

The post Kong Choon hargai jasa Anthony Loke, fokus berkhidmat di Chennah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved