
PETALING JAYA: MCA tidak memberikan sebarang tempoh ‘berbulan madu’ kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu yang menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, semalam.
Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, beliau telah mengingatkan kepada ADUN Chennah, Siow Kong Choon dan ADUN Repah, Koh Kim Swee bahawa tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat bermula serta merta sejurus diumumkan menang.
Pada masa sama, katanya, beliau telah meminta lima calon MCA yang tidak berjaya untuk terus bersama, membantu dan turun padang berjumpa rakyat bagi menghargai kehadiran mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Selepas empat kali berturut-turut PRN Negeri Sembilan tanpa wakil BN-MCA, kini sejarah berjaya direkodkan apabila kami diberi mandat oleh rakyat. Satu kerusi di sebelah utara dan satu lagi di sebelah selatan Negeri Sembilan iaitu Chennah dan Repah.
“Kedua-dua John (Kong Choon) dan Ah Swee (Kim Swee) kekal tenang dan fokus sepanjang kempen, walaupun berdepan lawan yang hebat, iaitu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan penyandang Exco Kerajaan Negeri, Veerapan Superamaniam,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Ka Siong turut berterima kasih kepada pengundi kerana meletakkan kepercayaan kepada Barisan Nasional khususnya MCA di kawasan tersebut.
“Saya berharap kedua-dua wakil rakyat yang baru dipilih ini akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Sembilan atas semangat kerjasama sebagai satu pasukan mantap yang sentiasa mengutamakan kebajikan dan kepentingan rakyat,” katanya. – UTUSAN
The post Tiada tempoh bulan madu untuk ADUN MCA – Ka Siong appeared first on Utusan Malaysia.






