Kongres FAM: Gunakan hak sebaik mungkin

LocalFootball
17 Sep 2026 • 8:10 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kongres FAM: Gunakan hak sebaik mungkin

AHLI gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diseru menggunakan hak mengundi dengan bertangungjawab untuk menentukan hala tuju baharu bola sepak negara berdasarkan pada Kongres Luar Biasa di Petaling Jaya hari ini.

Pemerhati bola sepak, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, pemilihan kepimpinan FAM kali ini cukup penting selepas badan induk bola sepak negara melalui tempoh penuh cabaran termasuk isu pemalsuan dokumen pemain warisan.

“Saya harap ahli gabungan yang menentukan hala tuju FAM nanti dapat membuat undian yang bijak supaya tidak membuat undian ikut sentimen atau undi popular sahaja. Mereka kena undi ikut fakta.

“Exco yang terdahulu (sebahagian calon yang masih dicalonkan) terpalit dengan isu tujuh pemain warisan. Jadi, ahli gabungan perlu cuba buat pembaharuan dan berani lakukan perubahan,” katanya kepada Kosmo!.

Mengulas lanjut, Ahmad Muzakkir melihat inilah masa terbaik untuk mencari tokoh baharu memandangkan tempoh penggal kepimpinan kali ini hanya kurang daripada tiga tahun apabila berakhir pada 2029.

“Kali ini, penggal tiga tahun sahaja dan tidak salah ahli gabungan cuba dulu untuk sepenggal. Kalau ada masalah, boleh tukar.

“Saya rasa perubahan ini penting bagi memastikan proses pemilihan dan pentadbiran FAM kembali diyakini semua pihak. Kalau FIFA masih memantau, apa yang kita risau adalah jika FAM kena bubar sekali lagi,” katanya.

Sementara itu, mantan Exco FAM, Datuk Christopher Raj berpandangan barisan kepimpinan baharu yang dipilih perlu melakukan perubahan mengikut kertas kerja yang sudah disediakan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini.

Namun, Christopher percaya apa yang lebih penting adalah melihat visi dan misi bakal Presiden FAM ke-9 untuk memberi sinar membuat pembaharuan dalam arena bola sepak negara.

“Pertama, saya rasa perubahan besar pasti berlaku (dalam aspek pentadbiran) kerana semua titik kelemahan sudah dinyatakan AFC. FIFA pun masih pantau pentadbiran FAM, kalau tidak dana tidak sampai.

“Kedua, sesiapa yang jadi presiden kena tentukan 100 hari hala tuju FAM termasukan jelaskan visi dan misi (persatuan).

“Pandangan saya, antara pembaharuan terbaik adalah melakukan Sidang Kemuncak Bola Sepak (peringkat tempatan) dan panggil semua pemegang taruh (ahli gabungan) ke simposium tersebut.

“Sekarang FAM (dikritik) tidak dengan keluhan peminat dan pemegang taruh dan disana kita boleh dengar keluhan mereka,” katanya.

Sebagai rekod, sebanyak 25 perwakilan terdiri daripada Persatuan Negeri (FA) dan kelab Liga Malaysia (Liga M) layak mengundi untuk menentukan Exco baharu bagi penggal 2025-2029 kali ini.

 

The post Kongres FAM: Gunakan hak sebaik mungkin appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved