
KUALA LUMPUR – Kongres Luar Biasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berlangsung dalam keadaan ‘tegang’ pagi ini susulan terdapat pertikaian kelayakan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM, Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohamad Said.
Dalam mesyuarat tersebut, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John yang bertindak sebagai Pengerusi Majlis memulakan dengan membangkitkan surat yang diserahkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 8 September lalu.
Surat tersebut telah diserahkan kepada Setiausaha Agung FAM dan salinannya turut diberikan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Jelas Windsor, Kongres Luar Biasa boleh diteruskan namun rayuan boleh dikemukakan jika ada bantahan daripada perwakilan ekoran berlakunya ‘kecacatan’ dalam melantik Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan.
Lantas, perwakilan dari Perak, Selangor dan Kuching City mahu ia diteruskan serta diminitkan namun Windsor tidak membenarkan kerana statut dan peraturan FAM perlu dipinda terlebih dulu.
“Pemilihan boleh diteruskan hari ini,” ujar Windsor.
Sebelum ini, media melaporkan pelantikan Abdullah dipersoalkan kerana beliau tidak memenuhi Kod Pemilihan FAM 2026 yang baru.
Dalam Kod Pemilihan FAM 2026 yang baru itu, Klausa 5 menetapkan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan mestilah layak untuk menjalankan amalan guaman.
Semakan terhadap profil akademik rasmi Abdullah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pula menunjukkan latar belakang pendidikannya adalah dalam bidang alam sekitar serta perancangan bandar dan wilayah.
The post Kongres Luar Biasa FAM berlangsung ‘tegang’ appeared first on Kosmo Online.






