Kongsi dulu, sahih atau tidak belakang kira

Technology
14 Sep 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kongsi dulu, sahih atau tidak belakang kira

Kepelbagaian maklumat yang tersebar di media sosial hari ini menuntut seseorang individu untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan berita yang dibaca apatah lagi dengan wujudnya ribuan portal yang mendakwa menyajikan berita sahih kepada pembaca.

Keadaan bertambah buruk apabila ada individu cenderung menyebarkan maklumat itu kepada orang lain.

Ketua Program Diploma Pengajian Media Islam Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang, Wan Hashridz Rizal Wan Abu Bakar berkata, kajian mendapati, antara punca utama penyebaran berita adalah kerana terlalu cepat berkongsi tanpa menyemak kesahihan maklumat.

“Kepercayaan terhadap maklumat yang diterima dalam talian turut menyebabkan masyarakat mudah menekan butang share (kongsi).

“Selain itu, keinginan untuk mengisi masa, berinteraksi dengan rakan dan berkongsi sesuatu dengan orang lain turut mendorong perkongsian berita secara pantas,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Dari sudut personaliti, beliau berkata, individu yang aktif bersosial dan mudah terpengaruh dengan keadaan emosi didapati lebih cenderung berkongsi berita dengan segera.

Sebaliknya, katanya, individu yang lebih teliti dan berhati-hati lebih cenderung membuat semakan sebelum berkongsi.

Dalam era kecerdasan buatan (AI) cabaran menjadi lebih besar kerana teknologi membolehkan sesebuah kandungan palsu dihasilkan dengan lebih mudah dan meyakinkan.

“Gambar, suara dan video boleh dihasilkan atau diubah sehingga orang biasa mungkin sukar membezakan kandungan tulen atau yang dimanipulasi.

“Keadaan ini boleh menyebabkan orang lebih mudah percaya sesuatu berita apabila kandungannya nampak profesional, mempunyai gambar atau video meyakinkan, walaupun maklumat itu tidak benar,” katanya.

Beliau berkata, AI bukan sahaja memudahkan penghasilan kandungan palsu, tetapi teknologi itu juga boleh mempercepatkan penghasilan dan penyebaran di media sosial.

“Sebab itu, ketika era AI kita tidak boleh lagi bergantung dengan apa yang kita lihat atau dengar semata-mata.

“(Sebaliknya) Kita perlu lebih berhati-hati dan anggap setiap maklumat yang diterima perlu disemak terutama sebelum berkongsi dengan orang lain.

“Masalah utama terlalu cepat percaya dan terlalu cepat berkongsi. Jadi, sebelum kita tekan share, ambil sedikit masa untuk berfikir, semak dan pastikan maklumat itu sahih terlebih dahulu,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan pandangannya berhubung penyebaran berita palsu ketika negara berdepan krisis ekonomi beberapa bulan lalu.

Dalam hal ini, katanya, orang ramai digesa untuk lebih berhati-hari dalam menerima serta menyebarkan maklumat terutama dari media sosial.

Saranan itu amat relevan ekoran ramai penerima berita palsu cenderung untuk menerimanya sebagai realiti. Ia sekali gus menjadi antara punca berita tidak sahih terus disebarkan secara berantai di media sosial.

Akhirnya ia dianggap sebagai suatu yang sahih daripada pihak berautoriti dalam kalangan penerima maklumat tersebut. Walhal, masalah tersebut dapat ditangani sekiranya penerima maklumat melakukan semakan terlebih dahulu mengenai kesahihannya dan tidak terus berkongsi tanpa usul periksa.

The post Kongsi dulu, sahih atau tidak belakang kira appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved