
GEORGE TOWN : Polis meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kehilangan seorang lelaki berusia 26 tahun di Sungai Ara, di sini, sejak Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab. Wahab berkata, ketika ini, siasatan lanjut serta usaha mengesan lelaki terbabit iaitu Mohamad Hijazi Zamri masih giat dijalankan dan polis juga sentiasa meneliti segala maklumat yang disebarkan berkaitan kes berkenaan.
Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat sekali gus menjejaskan dan mengganggu siasatan pihak polis.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Mohamad Hijazi diminta menyalurkannya terus kepada polis di talian 04-8662222 atau datang mana-mana balai polis berhampiran,” katanya di sini, hari ini.
Mohamad Hijazi yang juga guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) sebelum ini dilaporkan hilang selepas dikatakan meminta izin daripada ibunya untuk ke Surau Al-Muttaqin, tidak jauh dari rumahnya dengan menaiki motosikal.-UTUSAN
The post Jangan buat spekulasi kes orang hilang di Sungai Ara – polis appeared first on Utusan Malaysia.





