Kongsi gelap 08 kuasai Flat San Peng, 143 ditahan

6 Nov 2026 • 4:42 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kongsi gelap 08 kuasai Flat San Peng, 143 ditahan

KUALA LUMPUR – Kegiatan tiga sindiket pengedaran dadah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kongsi gelap 08 di sekitar Flat San Peng, di sini, berjaya ditumpaskan menerusi Ops Khas San Peng pada Rabu hingga Jumaat lalu.

Dalam operasi itu seramai 143 individu ditahan termasuk tiga ketua sindiket menerusi 91 serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan gengsterisme dan kongsi gelap 08 yang menguasai aktiviti pengedaran dadah di kawasan terbabit.

Katanya, operasi itu dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan berterusan yang mengenal pasti Flat San Peng sebagai antara lokasi tumpuan aktiviti penagihan serta pengedaran dadah.

“Kegiatan berkenaan khususnya membabitkan pengedar dadah berskala kecil atau tokan yang aktif menjalankan kegiatan haram sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk setempat.

“Operasi ini membabitkan kekuatan 36 pegawai kanan polis dan 210 anggota bagi membanteras kegiatan dadah serta memulihkan keselamatan dan ketenteraman masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 71 kes direkodkan hasil operasi itu dengan 143 individu ditahan termasuk tiga ketua sindiket yang dikenal pasti sebagai pembekal utama dadah ke Flat San Peng dan kawasan sekitarnya.

Daripada jumlah itu, seramai 127 lelaki dan 16 wanita ditahan membabitkan 115 warga tempatan serta 28 warga asing.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati 107 individu positif dadah manakala 36 lagi negatif.

“Sepanjang operasi, sebanyak 151.6 kilogram dadah pelbagai jenis bernilai RM7.7 juta turut dirampas,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post Kongsi gelap 08 kuasai Flat San Peng, 143 ditahan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved