Konsert 3 Diva dibatalkan

LocalEntertainment
23 Oct 2026 • 11:36 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Konsert 3 Diva dibatalkan

PETALING JAYA – Konsert 3 DIVA Timeless Live in Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 22 November ini di Unifi Arena, di sini, secara rasmi dibatalkan berikutan beberapa keadaan yang tidak dapat dielakkan.

Pengumuman pembatalan persembahan istimewa yang sepatutnya menghimpunkan tiga penyanyi ternama Indonesia iaitu Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ itu dibuat oleh pihak penganjur, T-Rex Studio Sdn. Bhd. menerusi satu kenyataan semalam.

“Keputusan untuk membatalkan konsert tersebut bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi selepas pelbagai persiapan dan perancangan dilaksanakan bagi memastikan kelancaran acara berkenaan.

“Pihak kami menyampaikan permohonan maaf kepada semua peminat, pemegang tiket, rakan penaja, rakan media serta pihak yang terlibat atas segala kesulitan dan kekecewaan yang timbul susulan pembatalan ini,” kata T-Rex dalam satu kenyataan.

Susulan pembatalan acara berkenaan, penganjur mengesahkan bahawa semua pemegang tiket akan menerima pemulangan wang secara penuh menerusi platform penjualan tiket masing-masing.

“Proses pemulangan wang dijangka diselesaikan dalam tempoh 14 hari bekerja, seperti yang dinyatakan dalam pengumuman rasmi.

“Pemegang tiket dinasihatkan untuk merujuk kepada platform pembelian tiket masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan proses pemulangan wang tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, T-Rex Studio turut merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua pihak yang telah memberikan kepercayaan, sokongan dan kerjasama sepanjang usaha menjayakan persembahan itu.

“Pihak kami memahami bahawa pembatalan ini mungkin memberikan kesan kepada pelbagai pihak yang telah membuat perancangan dan persiapan lebih awal.

“Walaupun konsert ini tidak dapat diteruskan seperti yang dirancang, kami amat menghargai sokongan serta kesabaran semua pihak dan sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan melalui saluran komunikasi rasmi,” ujarnya.

Terdahulu, Ruth, Titi dan Kris ketika ditemui Kosmo! Online dalam satu temu bual di Jakarta, Indonesia pada bulan lalu mengakui teruja untuk kembali bertemu peminat di Malaysia.

Kali terakhir Konsert 3 Diva pertama diadakan adalah sekitar 19 tahun lalu yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – KOSMO! ONLINE

The post Konsert 3 Diva dibatalkan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved