
PETALING JAYA – Konsert Tradisional Gema Bumantara oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dijadual berlangsung pada pukul 8.30 malam ini, mencetuskan fenomena tersendiri apabila orang ramai mula memburu parkir di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) seawal awal pagi tadi.
Menerusi perkongsian di media sosial, ada pengunjung yang dilaporkan mula mencari parkir seawal pukul 1.30 pagi, malah sanggup tidur di dalam kereta demi mendapatkan tempat letak kenderaan sebelum kawasan berkenaan dipenuhi pengunjung.
Keadaan itu turut menyaksikan orang ramai mula memenuhi kawasan parkir stadium seawal pagi, dengan beberapa pengguna media sosial berkongsi perkembangan semasa bagi membantu peminat lain merancang perjalanan mereka.
Pengguna Threads @fikrisyafique berkata, dia menyangka datang awal sudah memadai untuk mendapatkan parkir, namun mendapati ada pengunjung lain yang lebih awal tiba.
“Bangun awal pergi kerja (tak), bangun awal park (parkir) kereta. Ingatkan dah cukup awal untuk book (tempah) parkir, ada juga yang awal.
“Berdasarkan pengalaman lepas, semakin lambat datang, semakin mahal parkir,” katanya.
Dia turut berkongsi kadar parkir di SNBJ ketika ini ialah RM5 bagi tempoh 24 jam menggunakan kad.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Threads @quexieqbal memaklumkan keadaan parkir di SNBJ pada pukul 9.30 pagi sudah mula sesak, dengan banyak kenderaan beratur di Parkir B, manakala Parkir C juga dipenuhi kereta.
Dia turut menasihatkan pengunjung supaya merancang perjalanan dengan baik bagi mengelakkan kesulitan mendapatkan tempat letak kenderaan menjelang konsert malam ini.
Pengguna lain @shiramasri pula mendakwa sudah meletakkan keretanya di Zon C sejak semalam, manakala Wan Nur Rabihah berkongsi dia sudah bergerak ke lokasi seawal pukul 3 pagi.
Konsert Tradisional Gema Bumantara dijadual berlangsung pada pukul 8.30 malam ini di SNBJ, Bukit Jalil. – KOSMO! ONLINE
The post Konsert Siti malam, pukul 10 pagi dah ‘full’ parkir appeared first on Kosmo Online.






