
KUALA LUMPUR – Sebanyak 23 tindakan sitaan dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Operasi Tebah yang menyasarkan premis perniagaan di sekitar Pasar Borong Selayang dan Jalan Selayang Baru, semalam.
Operasi bermula pukul 10 malam hingga 9 pagi itu melibatkan seramai 240 anggota daripada pelbagai agensi bagi mengesan pelbagai kesalahan berkaitan aktiviti perniagaan dan pematuhan undang-undang.
DBKL dalam kenyataan berkata, pihaknya mengeluarkan sembilan notis selain melaksanakan 23 tindakan sitaan.
“Sebanyak 18 kes direkodkan di bawah Unit Kawalan dan Pelesenan Penjaja, manakala tiga kes melibatkan kenderaan dan dua kes berkaitan halangan,” katanya hari ini.
Turut terlibat dalam operasi tersebut ialah Majlis Perbandaran Selayang yang melaksanakan lima tindakan inventori, tiga kompaun dan tiga notis.
Katanya, tindakan penguatkuasaan turut merangkumi perobohan struktur stor haram, sitaan barangan, dua notis penutupan premis serta satu notis pematuhan lesen.
Sementara itu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengeluarkan 12 kompaun melibatkan 11 kes di bawah kategori Pendaftaran Perniagaan (Registration of Businesses atau ROB) dan satu kes di bawah kategori Pendaftaran Syarikat (Registration of Company atau ROC).
Kesalahan yang dikesan disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Akta Kerajaan Tempatan 1976 serta Undang-Undang Kecil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016. – KOSMO! ONLINE
The post Pasar Borong Selayang digempur DBKL appeared first on Kosmo Online.





