Konsert The Weeknd: JAKIM Siasat Dakwaan Wujud Unsur Pemujaan

LocalEntertainment
9 Nov 2026 • 7:52 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Konsert The Weeknd: JAKIM Siasat Dakwaan Wujud Unsur Pemujaan

KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan wujudnya unsur pemujaan dalam konsert penyanyi Kanada, The Weeknd, yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil minggu lalu.

Siasatan itu menyusul kontroversi tercetus di media sosial, susulan penggunaan prop pentas yang didakwa mempunyai elemen berkenaan ketika persembahan berlangsung.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata Bahagian Penyelidikan JAKIM sedang bekerjasama rapat dengan Urus Setia Jawatankuasa Pusat bagi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) bagi meneliti serta mengesahkan dakwaan berkenaan.

Beliau berkata, siasatan turut merangkumi penelitian terhadap pematuhan pihak penganjur kepada segala syarat dan ketetapan yang dikenakan bagi penganjuran konsert itu.

“Islam dengan tegas melarang sebarang bentuk pemujaan yang ditujukan kepada selain Allah SWT.

“Semua pihak perlu memastikan persembahan seni tidak menimbulkan kekeliruan berkaitan akidah, moral dan sensitiviti agama dalam kalangan masyarakat di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata, tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan fakta yang telah disahkan, bagi memastikan setiap persembahan artis tempatan mahupun antarabangsa sentiasa menghormati sensitiviti agama, budaya serta ketenteraman awam.

Konsert menerusi jelajah After Hours Til Dawn Tour yang menampilkan The Weeknd bersama artis jemputan dari Jepun, Creepy Nuts dan Yousouke Yukimatsu, berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 dan 5 November lalu.

Penganjuran konsert itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial susulan penggunaan sebuah arca gergasi berwarna emas di atas pentas.

Sebahagian pihak mendakwa arca berkenaan mempunyai unsur pemujaan, sekali gus mengundang perdebatan serta pandangan berbeza dalam kalangan masyarakat. - Getaran, 9 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved