Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Konsert penyanyi antarabangsa, The Weeknd yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini terus menjadi bualan ramai apabila beberapa elemen persembahan pentasnya mencetuskan perdebatan berkaitan sensitiviti agama.
Terbaharu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan pihaknya memandang serius isu berkenaan dan kini sedang menyiasat mengenai dakwaan terbabit.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, Islam secara tegas melarang sebarang bentuk pemujaan selain Allah dan setiap persembahan seni perlu menghormati sensitiviti agama di negara ini.
“Islam secara tegas melarang sebarang bentuk unsur pemujaan selain Allah SWT.
“Semua pihak perlu memastikan agar persembahan seni tidak menimbulkan kekeliruan berkaitan akidah, akhlak dan sensitiviti agama di Malaysia,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Artikel berkaitan: Sambutan Maulidur Rasul & Khatan Perdana Di Pekalongan Bertukar Tragis Gara-gara Ada Unsur ‘Pemujaan’?
Artikel berkaitan: “Cemarkan imej negara” – Dr Zulkifli Hasan Bersuara Isu Transgender Sertai Pertandingan Ratu Cantik
Ekoran itu, pihaknya menerusi Bahagian Penyelidikan JAKIM sedang berhubung dengan Urus Setia Garis Panduan Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).
Langkah itu diambil bagi mengesahkan kesahihan dakwaan yang tular serta meneliti sama ada persembahan konsert berkenaan mematuhi segala syarat dan garis panduan yang ditetapkan.
Tambahnya, tindakan tegas berdasarkan undang-undang dan fakta sahih akan diambil bagi memastikan persembahan artis tempatan mahupun antarabangsa sentiasa menghormati sensitiviti agama, budaya dan ketenteraman awam.
Terdahulu, persembahan The Weeknd mencuri perhatian apabila menampilkan beberapa elemen visual yang mengundang pelbagai reaksi penonton.
Antara yang menjadi perbualan ialah kemunculan patung robot wanita gergasi hasil rekaan artis Jepun, Hajime Sorayama, selain sekumpulan penari yang memakai jubah bertudung hud berwarna merah.
Gabungan elemen tersebut mengundang pelbagai tafsiran dalam kalangan netizen, malah ada yang mendakwa persembahan berkenaan seolah-olah mempunyai unsur ritual atau penyembahan.
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.






