Konsert XPDC di Kunak kurang sambutan

LocalMusic
14 Aug 2026 • 4:07 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Konsert XPDC di Kunak kurang sambutan

KONSERT XPDC Gegar Borneo 2026 yang berlangsung di Padang Pekan Kunak pada Sabtu baru-baru ini dilihat kurang meriah apabila sambutan terhadap jualan tiket dikatakan tidak begitu menggalakkan.

Harga tiket yang disifatkan sesetengah pengunjung sebagai mahal dipercayai antara faktor menyebabkan ramai yang hadir ke festival berkenaan memilih untuk menikmati makanan di gerai-gerai yang disediakan di kawasan padang sambil mendengar persembahan dari luar zon konsert.

Tinjauan di lokasi turut mendapati ribuan pengunjung memilih untuk berada di luar kawasan berpagar dan hanya mendengar persembahan kumpulan rock terkenal tanah air itu dari luar zon konsert.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Sam berkata, tidak semua pengunjung hadir semata-mata untuk menyaksikan konsert sebaliknya ada yang datang bersama keluarga untuk membeli makanan dan menikmati suasana hiburan.

“Pengunjung datang untuk menyokong peniaga dan membawa anak-anak membeli makanan.

“Kalau harga tiket konsert itu lebih berpatutan, mungkin ramai yang akan membelinya,” katanya.

Perkara sama turut mendapat perhatian pengguna media sosial yang berkongsi pandangan mengenai harga tiket yang didakwa tidak mampu dibeli oleh sebahagian pengunjung.

Rata-rata berpendapat harga berkenaan kurang bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa yang menyaksikan ramai perlu lebih berjimat cermat dalam perbelanjaan harian.

“XPDC sebenarnya masih mempunyai ramai peminat tetapi keadaan mungkin tidak mengizinkan mereka untuk masuk menyaksikan konsert itu terutama disebabkan isu harga tiket.

“Lebih-lebih lagi Kunak merupakan kawasan luar bandar,” kata seorang peminat kumpulan metal tempatan yang ditemui.

Pihak penganjur menawarkan tiga kategori tiket iaitu masing-masing berharga RM40, RM50 dan RM100 seorang bergantung kepada kedudukan penonton di kawasan persembahan utama.

Bagaimanapun meskipun jumlah penonton di dalam zon konsert tidak ramai namun anggota kumpulan XPDC Kita Peng Yu tetap memberikan persembahan bertenaga sepanjang konsert tersebut.

Kumpulan itu dianggotai Zuar atau Azuar selaku pemain bass, Jeff (gitar), Amy atau Suhaimi (dram) dan Ary Fahrenheit sebagai vokalis.

Antara lagu yang dipersembahkan ialah Nafisa, Kabus Semalam, Bibir Mesra Jiwa Parah, Semangat Yang Hilang, Titian Perjalanan, Senapang Patah, Bahalol, Aku Masih Di Sini, C.I.N.T.A., Raja Kertas, Jangan Tak Mandi dan Akhir Zaman selain beberapa lagu lain.

Sementara itu wakil SMH Global selaku penganjur Aalan Ahmad ketika dihubungi mengakui pihaknya menyedari sambutan terhadap jualan tiket Konsert XPDC Gegar Borneo adalah rendah sama ada melalui jualan dalam talian mahupun secara fizikal walaupun promosi telah dijalankan selama kira-kira sebulan.

Pengurus XPDC Kita Peng Yu, Yazid Selamat turut hadir bersama kru kumpulan berkenaan bagi menjayakan program tersebut.

Terdahulu program itu dianjurkan sebagai sebahagian daripada inisiatif penganjur untuk menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved