MESYUARAT Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) pada hari ini memperlihatkan dengan lebih jelas bahawa gabungan pembangkang itu kini benar-benar sedang bergerak daripada fasa krisis kepada fasa konsolidasi politik yang lebih tersusun dan strategik.
Jika sebelum ini proses reorganisasi awal sudah berlaku selepas lantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN pada 22 Februari lepas, maka keputusan Mesyuarat MT kali ini pula menunjukkan bahawa proses tersebut kini mula diterjemahkan kepada pembinaan struktur politik dan pilihan raya yang lebih menyeluruh.
Apa yang diputuskan dalam mesyuarat kali ini bukan sekadar soal pelantikan jawatan organisasi. Ia sebenarnya memberi gambaran bahawa PN sedang menyusun jentera menghadapi beberapa medan politik besar serentak, khususnya PRN Johor, PRN Melaka, PRN Sarawak dan akhirnya PRU16.
Perkara paling signifikan ialah lantikan rasmi Pengerusi PN di semua negeri utama. Langkah ini amat penting kerana sebelum ini struktur negeri PN dilihat tidak begitu tersusun dan terlalu bergantung kepada kekuatan parti komponen secara berasingan. Kini PN mula bergerak sebagai sebuah gabungan yang lebih berinstitusi.
Lantikan tokoh berpengaruh seperti Datuk Seri Shahidan Kassim di Perlis, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Kedah, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Perak dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Selangor menunjukkan PN cuba memanfaatkan tokoh yang mempunyai pengalaman pentadbiran, jaringan akar umbi serta pengaruh politik tersendiri di negeri masing-masing.
Lebih menarik ialah lantikan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, sebagai Pengerusi PN Melaka dan Wilayah Persekutuan. Ini memberi petunjuk bahawa PN mahu menampilkan wajah teknokrat dan profesional dalam usaha menembusi semula negeri-negeri bandar dan separa bandar yang lebih mencabar.
Di Johor pula, lantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal dilihat signifikan kerana beliau merupakan bekas Menteri Besar Johor dan mempunyai pengalaman langsung dalam politik negeri tersebut. Johor kekal sebagai medan penting untuk pembangkang kerana negeri itu sering dianggap “fixed deposit” tradisional kepada parti pemerintah.
Satu lagi lantikan penting ialah penonjolan Datuk Dr Aliakbar Gulasan sebagai Pengerusi PN Sabah menggantikan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. Lantikan ini mempunyai simbolisme politik yang besar kerana Aliakbar merupakan satu-satunya ADUN PN yang berjaya memenangi kerusi dalam PRN Sabah lalu.
Dalam konteks politik Sabah yang sangat dinamik dan berasaskan pengaruh tempatan, lantikan beliau boleh dilihat sebagai usaha membawa proses rejuvenasi dan penyusunan semula PN Sabah dengan memberi lebih ruang kepada kepimpinan yang benar-benar mempunyai pengalaman medan politik negeri tersebut.
Lantikan beliau, selain pengekalan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian sebagai Pengerusi PN Sarawak, memperlihatkan kesungguhan PN memperluaskan pengaruh di Malaysia Timur. Ini penting kerana tanpa penembusan yang lebih besar di Sabah dan Sarawak, mana-mana gabungan politik sukar membentuk kerajaan Persekutuan secara stabil dalam era politik pasca-2018.
Dalam masa sama, pengekalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Pengerusi PN Pahang juga sangat signifikan dari sudut strategi pilihan raya. Pahang dilihat sebagai antara negeri sasaran utama PN menjelang PRU16 memandangkan gabungan itu menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara di negeri tersebut dalam pilihan raya lalu.
Tuan Ibrahim pula merupakan tokoh kanan Pas yang mempunyai pengalaman luas, jaringan akar umbi yang kuat serta imej lebih sederhana dan profesional. Pengekalan beliau memberi gambaran bahawa PN mahu memastikan kesinambungan strategi dan kestabilan organisasi di negeri yang dianggap sebagai “medan pertempuran utama” antara kerajaan dan pembangkang pada PRU16 nanti.
Bagaimanapun, apa yang lebih strategik sebenarnya ialah keputusan PN untuk membuka ruang kepada kerjasama pilihan raya atau electoral pact dengan parti-parti tertentu yang mempunyai keserasian perjuangan.
Ini mungkin keputusan paling penting dalam keseluruhan mesyuarat tersebut. Keputusan ini menunjukkan bahawa PN semakin memahami realiti politik Malaysia hari ini, iaitu pembangkang tidak boleh lagi bergerak secara bersendirian jika mahu mencabar kerajaan secara serius.
Dalam konteks ini, pendekatan lebih terbuka terhadap kerjasama politik boleh membantu PN memperluaskan pengaruh kepada kelompok nasionalis Melayu, pengundi konservatif bandar, parti-parti kecil tempatan serta kumpulan serpihan politik yang muncul selepas pergolakan dalaman beberapa parti besar.
Pendekatan ini juga memberi ruang kepada kemungkinan kerjasama dengan parti-parti baharu yang dijangka muncul dalam masa terdekat, termasuk mana-mana blok politik yang lahir daripada krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Jika sebelum ini PN dilihat agak eksklusif dan terlalu tertutup, keputusan kali ini memberi isyarat bahawa gabungan itu kini mahu menjadi lebih inklusif dan pragmatik. Dalam politik moden, fleksibiliti sering menjadi kunci survival.
Selain itu, keputusan melantik Ahmad Samsuri sendiri sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia juga membawa simbolisme politik yang sangat besar. Lantikan ini bukan sekadar mengisi kekosongan selepas pengunduran Hamzah Zainudin. Ia sebenarnya mengukuhkan lagi kedudukan Ahmad Samsuri sebagai wajah utama PN menjelang PRU16.
Dengan memegang dua jawatan paling penting — Pengerusi PN dan Ketua Pembangkang — Ahmad Samsuri kini berada pada posisi untuk menyusun naratif nasional pembangkang secara lebih tersusun dan konsisten. Ini penting kerana antara kelemahan utama pembangkang sebelum ini ialah kegagalan menampilkan satu pusat kepimpinan yang jelas dan stabil.
Imej Ahmad Samsuri yang lebih tenang, teknokratik dan kurang kontroversi juga berpotensi membantu PN menarik segmen pengundi tengah (middle ground voters) yang sebelum ini agak skeptikal terhadap politik konfrontasi melampau. Tambahan pula, PN kini semakin kelihatan serius membina identiti sebagai pembangkang dasar (policy opposition), bukan sekadar pembangkang retorik.
Peranan Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku Setiausaha Agung PN sejak Mac lalu banyak membantu proses ini. Siri kenyataan medianya mengenai perdagangan antarabangsa, geopolitik, kos sara hidup, subsidi diesel, sekuriti makanan, kebebasan media, SPRM dan pengangkutan awam menunjukkan bahawa PN cuba membawa pendekatan yang lebih substantif dan berorientasikan polisi.
Pada masa sama, Tan Sri Annuar Musa selaku Ketua Penerangan PN pula terus aktif memainkan peranan komunikasi politik melalui media sosial dan media alternatif untuk memperluaskan naratif PN kepada akar umbi Melayu dan kelompok atas pagar.
Gabungan antara pendekatan teknokratik Ahmad Samsuri, pendekatan dasar Takiyuddin dan pengalaman komunikasi politik Annuar Musa kini mula membentuk identiti baharu PN.
Namun, jika PN benar-benar mahu meyakinkan rakyat bahawa gabungan itu bersedia mengambil alih kerajaan, beberapa langkah tambahan yang lebih strategik perlu mula dilaksanakan.
Antara langkah paling penting ialah membentuk pasukan jurucakap portfolio atau shadow cabinet bagi setiap kementerian utama kerajaan. PN perlu melantik jurucakap khusus bagi setiap portfolio penting kerajaan dengan setiap jurucakap perlu bertanggungjawab mengulas dasar kerajaan secara konsisten, menyediakan cadangan alternatif dan membina kepakaran dalam bidang masing-masing.
Langkah ini amat penting untuk membayangkan bahawa PN bukan sekadar mahu menjadi pembangkang, tetapi benar-benar sedang bersedia menjadi kerajaan alternatif. Malah di negara demokrasi matang seperti United Kingdom dan Australia, sistem shadow cabinet digunakan pembangkang untuk menunjukkan kesiapsiagaan mereka sebagai government-in-waiting.
Dalam konteks Malaysia, pendekatan sedemikian boleh membantu PN keluar daripada persepsi lama bahawa pembangkang hanya pandai mengkritik tanpa menawarkan penyelesaian yang jelas.
Lebih penting, PN juga perlu mula membangun dan mewarwarkan rangka dasar jangka sederhana dan panjang yang boleh dijadikan tawaran rasmi kepada rakyat menjelang PRU16.
Rakyat hari ini bukan sekadar mahu mendengar slogan politik tetapi mereka mahu melihat pelan tindakan yang konkrit mengenai bagaimana PN mahu mengurus ekonomi, menangani kos sara hidup, memperkukuhkan pendidikan, meningkatkan gaji, memperbaiki pengangkutan awam, memperkukuhkan keselamatan makanan dan mengurus hubungan geopolitik Malaysia.
Jika PN berjaya menghasilkan dokumen dasar yang jelas, profesional dan meyakinkan, ia akan membantu gabungan tersebut menarik lebih ramai pengundi atas pagar, golongan profesional muda dan pengundi bandar yang biasanya lebih menilai keupayaan pentadbiran berbanding sentimen politik semata-mata.
Sudah tentu PN masih mempunyai banyak cabaran yang perlu diatasi. Pergolakan dalaman Bersatu masih belum benar-benar reda. Persaingan antara Pas dan Bersatu di beberapa kawasan juga masih wujud. PN juga masih perlu membuktikan bahawa ia mampu menembusi pengundi bukan Melayu dan kawasan bandar utama.
Namun sekurang-kurangnya, perkembangan mutakhir ini menunjukkan bahawa PN tidak lagi berada dalam keadaan defensif seperti beberapa bulan lalu.
Sebaliknya, gabungan itu kini sedang membina semula organisasi, menyusun struktur negeri, memperkemas kepimpinan, memperluaskan jaringan kerjasama politik dan membentuk naratif nasional yang lebih matang.
*** Muhammad Afifi Abdul Razak ialah Felo Future Research

![[INFOGRAFIK] Pengerusi PN di setiap negeri](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/05/16/3522967.webp)



