KUALA LUMPUR 26 Okt - Konsortium tenaga Malaysia yang dianggotai PETRONAS dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), bersama konsortium Petrovietnam dan Sembcorp dari Vietnam serta Singapura, mencapai kemajuan penting dalam pembangunan projek bekalan elektrik hijau rentas sempadan berkapasiti sehingga 1.3 gigawatt (GW) yang dijangka memulakan operasi pada 2035.
Perkembangan itu menyusuli kelulusan bersyarat yang diberikan Penguasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA) kepada Sembcorp Utilities Pte Ltd (SCU), anak syarikat milik penuh Sembcorp Industries, sebagai pengimport elektrik yang ditetapkan bagi projek kerjasama Vietnam-Malaysia-Singapura (VMS).
Projek tersebut melibatkan dua konsortium utama, iaitu PetroVietnam Technical Services Corporation (PTSC), anggota Vietnam National Industry–Energy Group (Petrovietnam), bersama SCU yang berpangkalan di Singapura, serta MY Energy Consortium yang dianggotai PETRONAS dan TNB.
Menurut kenyataan bersama hari ini, kelulusan bersyarat itu menyediakan asas kepada kedua-dua konsortium untuk meneruskan peringkat pembangunan seterusnya, tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan projek yang diperlukan.
“Konsortium yang terlibat telah melaksanakan pelbagai aktiviti teknikal dan komersial dengan kerjasama rapat kerajaan, badan kawal selia serta pemegang kepentingan di ketiga-tiga negara sejak Perjanjian Pembangunan Bersama dimeterai pada Mei 2025,” menurut kenyataan itu.
Inisiatif VMS menyasarkan import sehingga 1.3GW elektrik tenaga boleh baharu ke Singapura melalui koridor tenaga serantau yang menghubungkan Vietnam, Malaysia dan Singapura.
Projek berkenaan akan memanfaatkan sumber tenaga angin luar pesisir Vietnam serta kemudahan tenaga solar dan sistem penyimpanan bateri di Malaysia, dengan elektrik yang dijana di Vietnam akan dihantar melalui Malaysia untuk dibekalkan kepada kedua-dua negara, Malaysia dan Singapura.
Melalui MY Energy Consortium, PETRONAS dan TNB bekerjasama untuk menyokong aspirasi Malaysia menjadi hab transit tenaga serantau, selain meneroka peluang perdagangan elektrik boleh baharu rentas sempadan dan memperkukuh keselamatan tenaga negara.
Kelulusan bersyarat itu disampaikan secara rasmi pada majlis pembukaan Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2026 hari ini, yang turut disertai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Shamsul Ahmad.
Majlis berkenaan turut melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sembcorp Industries, Wong Kim Yin; Naib Presiden Petrovietnam, Phan Tu Giang; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PTSC, Tran Ho Bac.
Penyampaian kelulusan itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Tenaga, Perdagangan dan Industri Singapura, Tan See Leng; serta Timbalan Menteri Kewangan Vietnam, Cao Anh Tuan.
Inisiatif berkenaan dijangka menyokong pembangunan Grid Tenaga ASEAN dan memperkukuh hubungan tenaga antara ketiga-tiga negara, namun pelaksanaan projek masih tertakluk kepada kelulusan lanjut sebelum bekalan elektrik rentas sempadan dapat dimulakan.- DagangNews.com



