Projek tenaga hijau Johor RM24.5 bilion libatkan Maybank, DBS, IFC dan Ditrolic tarik minat tempahan hampir 90% kapasiti elektrik

LocalBusiness & Finance
26 Oct 2026 • 2:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek tenaga hijau Johor RM24.5 bilion libatkan Maybank, DBS, IFC dan Ditrolic tarik minat tempahan hampir 90% kapasiti elektrik Image from: Projek tenaga hijau Johor RM24.5 bilion libatkan Maybank, DBS, IFC dan Ditrolic tarik minat tempahan hampir 90% kapasiti elektrik sarah26/10/2026 - 14:15 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Okt - Projek Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Selatan Johor (SJREC) bernilai AS$6 bilion (RM24.50 bilion) mendapat sambutan awal yang menggalakkan apabila bakal pembeli menunjukkan minat untuk menempah hampir 90% daripada kapasiti tenaga elektrik hijau yang bakal dijana projek berkenaan.

 

Perkembangan itu diumumkan pemajunya, Ditrolic Energy Holdings Sdn Bhd, yang kini sedang memperkukuh persiapan pembiayaan projek tenaga solar dan sistem penyimpanan bateri berskala besar tersebut dengan kerjasama DBS Bank, International Finance Corporation (IFC) dan Maybank.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ditrolic Energy, Tham Chee Aun berkata, tumpuan syarikat kini adalah memastikan proses pemuktamadan pembiayaan berjalan lancar sebelum projek berkenaan mencapai keputusan pelaburan akhir (FID).

 

“Dengan hampir 90% kapasiti tenaga hijau kami sudah menerima minat tempahan, tumpuan kami sekarang adalah memastikan proses pemuktamadan pembiayaan berjalan lancar.

 

“Dengan membawa DBS, IFC dan Maybank menyertai usaha ini lebih awal sebelum keputusan pelaburan akhir, serta bekerjasama rapat dengan kerajaan, pengawal selia dan pembeli tenaga, kami berharap dapat membangunkan rangka kerja rujukan bagi pembiayaan projek Grid Tenaga ASEAN pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.

 

Perkembangan itu menyusuli pertukaran memorandum Rangka Kerja Kebolehbiayaan dan Pembiayaan Projek SJREC antara DBS Bank Ltd, IFC yang merupakan anggota Kumpulan Bank Dunia, Malayan Banking Berhad (Maybank) dan Ditrolic Energy sempena Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) ke-19, hari ini.

 

Majlis tersebut disaksikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Tenaga, Perdagangan dan Industri Singapura, Tan See Leng; serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Darul Ta'zim (PDT), Datuk Ramlee A Rahman, yang mewakili kerajaan Johor.

 

SJREC dibangunkan bersama Ditrolic Energy dan PDT, cabang pelaburan strategik kerajaan Johor. Pada Ogos 2026, anak syarikat milik penuh Ditrolic Energy, Southern Solar Alliance Pte Ltd, menerima kelulusan bersyarat daripada Energy Market Authority (EMA) Singapura untuk mengimport sehingga 600 megawatt arus ulang-alik (MWac) elektrik tenaga boleh baharu dari Johor ke republik itu.

 

Menerusi memorandum berkenaan, keempat-empat pihak akan menubuhkan kumpulan kerja bagi mengenal pasti keperluan pembiayaan SJREC, termasuk aspek kawal selia, sambungan grid, perjanjian pembelian tenaga, pembahagian risiko serta piawaian alam sekitar dan sosial. Projek itu kini bergerak ke peringkat kontrak, pelesenan, permit dan keputusan pelaburan akhir.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Global Maybank, Datuk John Chong berkata, SJREC berpotensi menghubungkan sumber tenaga boleh baharu Johor dengan perniagaan di Malaysia dan Singapura, sekali gus meningkatkan daya tarikan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura sebagai destinasi pelaburan. Rangka kerja pembiayaan itu juga disasarkan menjadi rujukan bagi projek perdagangan elektrik rentas sempadan di bawah Grid Tenaga ASEAN, namun pembiayaan projek SJREC masih belum dimuktamadkan.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved