Konspirasi Gugat Institusi Diraja Negeri Sembilan Gagal, Pihak Terlibat Digesa Mohon Ampun

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 1:51 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Konspirasi Gugat Institusi Diraja Negeri Sembilan Gagal, Pihak Terlibat Digesa Mohon Ampun

KUALA LUMPUR - Penarikan semula bantahan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bersama 10 bekas anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, membuktikan kegagalan percaturan politik untuk menggugat institusi diraja negeri itu.

Menerusi kenyataan bersama, empat Ahli Parlimen Melayu DAP, Syahredzan Johan (Bangi), Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman (Bentong), Senator Sheikh Umar Bagharib Ali dan Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera) menyifatkan perkembangan terbaharu tersebut sebagai kemenangan mutlak buat institusi diraja Negeri Sembilan.

Menurut mereka, krisis berkenaan tercetus susulan tindakan ADUN Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang didakwa mencetuskan kemelut perlembagaan serta politik di negeri itu sejak tiga bulan lalu.

“Meskipun sebelum ini mereka mendakwa tindakan tersebut dilakukan atas alasan mempertahankan adat, perkembangan terbaharu ini jelas menunjukkan bahawa perkara yang kononnya dipertahankan itu sebenarnya bercanggah dengan peruntukan yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

“Secara tidak langsung, mereka mengakui telah melakukan kesilapan dengan berkomplot untuk menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan menggantikan Tuanku Muhriz dengan individu lain,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, keempat-empat wakil DAP terbabit menggesa semua pihak terbabit supaya tampil memohon ampun secara terbuka kepada Tuanku Muhriz serta Raja-Raja Melayu lain atas tindakan yang didakwa telah melampaui batas.

Mereka turut mendesak kepemimpinan tertinggi BN dan PN menjelaskan sama ada mereka mengetahui atau memberikan restu terhadap tindakan Menteri Besar dan bekas anggota Exco berkenaan.

Mereka berkata, sehingga kini tiada mana-mana parti mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan pendirian masing-masing berhubung krisis berkenaan.

Pada masa sama, pihak berkuasa digesa mendedahkan perkembangan serta hasil siasatan terhadap Menteri Besar dan bekas anggota Exco berhubung kemelut perlembagaan itu.

“Kami menggesa pihak berkuasa memaklumkan kepada orang ramai hasil siasatan berkenaan kerana pada pandangan kami, tindakan sedemikian wajar dibawa ke muka pengadilan,” kata mereka.

Kenyataan itu turut membangkitkan kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan apabila parti berkenaan didakwa sudah melampaui batas kerjasama politik sehingga menjejaskan martabat institusi Raja-Raja Melayu.

“Jelas bahawa UMNO dan Barisan Nasional sudah melangkaui garis merah dalam Kerajaan Perpaduan apabila mencampuri urusan yang menyentuh martabat Raja-Raja Melayu.

“Justeru, Sekretariat Kerajaan Perpaduan perlu mengambil tindakan lanjut bagi menentukan sama ada UMNO wajar terus kekal dalam kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ismail bersama 10 anggota Exco negeri dilaporkan telah menarik balik bantahan terhadap surat Pemegang Mohor Besar Raja-Raja bertarikh 17 September 2026 berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Ismail berkata keputusan terbabit dibuat berdasarkan kenyataan media Raja-Raja Melayu pada 14 Oktober 2026 serta perintah Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun 2026.

Pada September lalu, Tuanku Muhriz telah menarik balik pelantikan kesemua 10 anggota Exco berkenaan.

Pembatalan pelantikan itu kemudiannya diwartakan oleh pentadbiran kerajaan negeri atas alasan mereka telah melanggar ikrar taat setia kepada pemerintah. - Getaran, 16 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved