
YAN – Seorang anggota polis berpangkat konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan cuba mencuri beg galas milik rakan sekerjanya, awal bulan ini.
Tertuduh, Ahmad Fahmi Ahmad Hasbullah, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Anis Suraya Ahmad.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa cuba mencuri beg galas yang mengandungi dompet, kunci dan jaket milik mangsa berusia 32 tahun di Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Yan pada pukul 7.20 malam, 2 September lalu.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nurhazirah Tuan Yahya menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 kepada tertuduh.
Peguam, Nurul Nur Hidayah Roslin kemudian memohon kadar minimum kerana tertuduh telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan.
Nurul Nur Hidayah juga memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh yang mempunyai pendapatan kira-kira RM3,000 menanggung dua anak berusia dua dan tiga tahun, manakala isterinya tidak bekerja.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 20 Oktober depan. – KOSMO! ONLINE
The post Konstabel tidak mengaku cuba curi beg galas rakan sekerja appeared first on Kosmo Online.





