Anggota polis mengaku tidak bersalah cuba curi beg galas rakan

29 Sep 2026 • 11:59 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Anggota polis mengaku tidak bersalah cuba curi beg galas rakan
Tertuduh mengaku tidak bersalah cuba mencuri beg galas milik rakan setugas.

YAN - Seorang anggota polis berpangkat konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa cuba mencuri beg galas milik rakan setugas dalam kejadian awal bulan ini.

Tertuduh, Ahmad Fahmi Ahmad Hasbullah, 29, bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Anis Suraya Ahmad ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa cuba melakukan kesalahan mencuri beg galas yang mengandungi dompet, kunci dan jaket milik anggota wanita berusia 32 tahun, bertugas di IPD sama.

Perbuatan itu dilakukan pada jam lebih kurang 7.20 petang bertempat di Kaunter Aduan Trafik IPD Yan, 2 September lalu.

Disebabkan perbuatan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 511 KK.

Jika sabit kesalahan bagi Seksyen 379 KK, boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali manakala hukuman bagi Seksyen 511 KK boleh dipenjara tidak melebihi separuh daripada tempoh hukuman maksimum bagi kesalahan tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nurhazirah Tuan Yahya manakala tertuduh diwakili Peguam Nurul Nur Hidayah Roslin.

Mahkamah menawarkan ikat jamin kepada tertuduh sebanyak RM6,000 sementara menunggu kes tersebut disebut semula pada tarikh ditetapkan.

Dalam rayuan, Nurul Nur Hidayah memohon mahkamah menawarkan jumlah ikat jamin yang rendah memandangkan tertuduh hanya memperolehi pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan selain menyara isteri dan anak berusia dua serta tiga tahun.

Tambah beliau, jamin diberikan semata-mata untuk memastikan tertuduh hadir ke mahkamah pada tarikh ditetapkan bagaimanapun, dia telah memberikan kerjasama baik sepanjang tempoh siasatan.

Majistret Anis Suraya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Kes akan disebut semula pada 20 Oktober depan bagi tujuan serahan dokumen.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved