
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui tindakan mencuri atau cubaan mengambil sesuatu barangan yang bukan milik sendiri adalah satu perbuatan yang salah di sisi undang-undang.
Anggota polis mengaku tak bersalah atas tuduhan cuba curi beg galas milik rakan
Terbaharu seorang anggota polis telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Yan, Kedah atas tuduhan cuba mencuri beg galas milik rakan sekerjanya dalam satu kejadian yang berlaku pada awal bulan ini.
Tertuduh yang dikenali sebagai Ahmad Fahmi Ahmad Hasbullah yang juga berpangkat konstabel serta bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah.
Pengakuan itu dilakukan oleh tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Suraya Ahmad.
Cuba curi beg rakan sekerja di IPD Yan
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang berusia 29 tahun telah didakwa cuba melakukan kesalahan mencuri beg galas milik anggota wanita berusia 32 tahun yang bertugas di IPD sama.
Di dalam beg berkenaan mengandungi barangan seperti:
- Dompet
- Kunci
- Jaket
Perkara itu dilakukan oleh tertuduh pada jam sekitar 7.20 petang bertempat di Kaunter Aduan Trafik IPD Yan, pada 2 September yang lalu, lapor Sinar Harian.
Tertuduh kemudiannya didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 511 KK.
Seksyen 379 KK memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Manakala Seksyen 511 KK pula memperuntukkan hukuman di mana tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi separuh daripada tempoh hukuman maksimum untuk kesalahan berkenaan.
Timbalan Pendakwa raya beri ikat jamin RM6,000
Ketika prosiding anggota polis terbabit telah diwakili oleh peguam, Nurul Nur Hidayah Roslin dan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Nurhazirah Tuan Yahya.
Susulan itu mahkamah kemudiannya telah menetapkan ikat jamin ke atas konstabel berkenaan sebanyak RM6,000 sementara menunggu kes itu disebut semula pada tarikh yang ditetapkan.
Peguam rayu ikat jamin lebih rendah sebab konstabel peroleh pendapatan sebanyak RM3,000
Rayuan kemudiannya dibuat dan peguam mewakili konstabel terbabit, Nurul Nur Hidayah meminta agar mahkamah menawarkan jumlah ikat jamin yang rendah.
Perkara itu ekoran tertuduh hanya memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM3,000 selain turut menyara isteri dan juga dua orang anak yang berusia dua dan tiga tahun.
Kata peguam berkenaan, jaminan diberikan semata-mata bagi memastikan anggota polis itu hadir ke mahkamah pada tarikh yang telah ditetapkan.
Walau bagaimanapun, dia telah memberikan kerjasama baik sepanjang tempoh siasatan.
Majistret lalu membenarkan konstabel berkenaan dijamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.
Kes akan dibicarakan semula pada 20 Oktober untuk tujuan serahan dokumen.




