Kontinjen karate Penampang kutip 5 emas

14 Oct 2025 • 12:14 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Kontinjen Penampang meraih lima pingat emas melalui acara karate pada temasya Sukan Sabah (Saga) XI 2025.

Lima emas diperolehi melalui kategori Kumite Bawah 75kg Lelaki, Kumite Bawah 84kg Lelaki, Kata Individu Wanita, Kumite Bawah 68kg Wanita dan Kumite Berpasukan Wanita.

Kontinjen berkenaan turut membawa pulang tiga pingat perak melalui acara Kata Berpasukan Lelaki, Kumite Berpasukan Lelaki dan Kumite Wanita Atas 68kg serta tujuh pingat gangsa.

Sementara itu, kontinjen Kota Kinabalu di tempat kedua dengan pungutan empat emas dan satu perak manakala Beaufort di tempat ketiga dengan dua emas, dua perak dan satu gangsa.

Majlis penyampaian hadiah diadakan di Dewan Ixora Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini, pada Ahad.

Selain itu, empat anugerah khas turut disampaikan iaitu Kata Terbaik Lelaki dan Wanita yang dimenangi oleh atlet Kota Kinabalu, Nur Rasyiqah Fari’ah Razmi dan Alvince Zurizal dan anugerah Kumite Terbaik Lelaki dan Wanita masing-masing dimenangi atlet Beaufort, Khairil Iman Ahmat Hamzah dan atlet Tambunan, Adeola Fay Robert.

Sementara itu, acara petanque menawarkan empat pingat emas hari kedua temasya itu.

Emas pertama dimenangi oleh peserta dari Sandakan Nur Anis Natasha Aziyan dalam kategori Shooting Wanita.

Pingat perak pula disandang oleh peserta dari Putatan, Alesya Shahirah Abu Bakar manakala peserta dari Pitas, Siti Nur Vivianah Chia mendapat pingat gangsa.

Dalam kategori Shooting Lelaki, Azwan Bassal @ Randy menceriakan kem daerah Kudat apabila membawa pulang pingat emas manakala perak dan gangsa masing-masing disandang oleh Muhammad Nazri Daniel Abdullah Salleh dari Membakut dan Muhammad Fariz Ahmad Nor Abdullah yang mewakili Kota Kinabalu.

Pingat emas ketiga dari Petanque diberikan kepada peserta dari daerah yang baru sahaja menyertai Saga iaitu Sook menerusi Thadis Henehera Vennice dalam kategori Perseorangan Wanita manakala perak dan gangsa dimenangi oleh peserta dari Papar, Nurul Azirah Mazlee dan Azzyati Hajimah Jamrih dari Keningau.

Pingat terakhir hadir dalam kategori Single Lelaki dengan Ainol Shahramadhan Abu Bakar dari Putatan memenangi pingat emas.

Pingat perak dimiliki Mohamad Asrul Haiqal Abd Tahir dari Kudat dan pingat gangsa jatuh kepada peserta Pitas, Herry Aboy Josly.

Acara penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Majlis Sukan Sabah (MSN) Sabah Mohd Asneh Mohd Noor disaksikan oleh Pegawai Daerah Putatan, Masawi Salleh.

Sementara itu, dalam acara bola jaring, pasukan tuan rumah terpaksa akur kehebatan Keningau setelah tewas 29-61 di peringkat kumpulan. Dalam perlawanan ke sembilan sukan tersebut, Keningau mendominasi permainan dari suku pertama sehingga ke wisel penamat.

Keningau mendahului pada suku pertama dengan 16-4 dan terus selesai dengan 30-12 mata pada suku kedua.

Memasuki suku ketiga, Keningau mengutip 48 mata keseluruhan jauh meninggalkan Tawau dengan hanya 21 mata.

Dalam pusingan akhir di suku keempat, Tawau hanya berjaya mendapat lapan mata berbanding Keningau dengan tambahan 12 mata menjadikan keputusan akhir perlawanan memihak Keningau dengan 61-29.

Dengan kemenangan itu, Keningau layak ke peringkat seterusnya manakala perjalanan Tawau terhenti di peringkat kumpulan.