Kontrak baharu AS perkukuh jejak MCE Holdings di pasaran antarabangsa – HLIB

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2026 • 12:01 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kontrak baharu AS perkukuh jejak MCE Holdings di pasaran antarabangsa – HLIB Image from: Kontrak baharu AS perkukuh jejak MCE Holdings di pasaran antarabangsa – HLIB hamden15/10/2026 - 12:01 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Okt - Kontrak baharu di Amerika Syarikat (AS), selepas memperoleh tempahan di India pada bulan sebelumnya, mengukuhkan usaha MCE Holdings Bhd (MCE) memperluas jejak antarabangsa serta meningkatkan pendedahan kepada komponen elektronik automotif bernilai tambah lebih tinggi.

 

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menyifatkan kontrak terbaharu itu sebagai pengesahan terhadap daya saing global MCE, khususnya dalam membekalkan komponen elektronik automotif yang memerlukan kepakaran teknikal dan kemudahan pengeluaran khusus.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kontrak berkenaan turut membuka peluang kepada MCE untuk memanfaatkan kilang baharunya di Serendah, yang akan mengeluarkan unit kawalan elektronik paparan (Paparan ECU) bagi program kenderaan di AS.

 

"Pengeluaran Paparan ECU memerlukan persekitaran terkawal, termasuk bilik bersih serta perlindungan daripada nyahcas elektrostatik (ESD).

 

"Kemudahan pengeluaran itu dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan penggunaan kapasiti, sekali gus berpotensi meningkatkan leverage operasi dan margin keuntungan apabila jumlah pengeluaran berkembang.," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

HLIB berkata, Paparan ECU mempunyai nilai kandungan bagi setiap kenderaan yang lebih tinggi berbanding produk tradisional MCE, sekali gus berpotensi memperbaiki campuran produk dan profil pendapatan kumpulan.

 

Dijangka jana hasil RM23.3 juta

Sementara itu firma itu berkata, kontrak bagi kenderaan AS yang diperoleh pada 14 Oktober 2026 itu melibatkan pembekalan komponen elektronik automotif, termasuk paparan ECU.

 

Kontrak berkenaan dijangka menjana hasil sebanyak RM23.3 juta sepanjang tempoh 60 bulan, dengan bekalan dijadualkan bermula pada penghujung tahun kewangan 2027 (FY27).

 

Nilai kontrak itu bersamaan kira-kira RM4.7 juta setahun atau sekitar 2.1% daripada unjuran hasil MCE bagi FY27.

 

Dalam perkembangan berkaitan, HLIB mengekalkan unjuran kewangan MCE kerana peningkatan sumbangan eksport secara berperingkat telah pun diambil kira dalam ramalan sedia ada.

 

Firma itu mengunjurkan pendapatan sesaham (EPS) teras MCE meningkat kepada 16.8 sen bagi tahun kewangan 2027 (FY27), berbanding 14.9 sen pada FY26, sebelum berkembang kepada 20.7 sen pada FY28.

 

HLIB turut mengekalkan saranan BELI terhadap saham MCE dengan harga sasaran RM2.31, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 15 kali ke atas EPS FY27 yang dicairkan sebahagiannya, dengan andaian 50% waran tertunggak dilaksanakan.

 

Dari segi kedudukan kewangan, MCE mempunyai tunai bersih sebanyak RM52 juta, bersamaan kira-kira 34 sen sesaham atau 23.4% daripada permodalan pasaran kumpulan.

 

Kedudukan tunai itu memberikan fleksibiliti kepada MCE untuk membiayai peluang pertumbuhan serta memulangkan nilai kepada pemegang saham.

 

HLIB turut mengunjurkan hasil dividen MCE sebanyak 7.6% bagi FY27. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved