sarah15/10/2026 - 18:20 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Okt - Sambutan kukuh pasaran hartanah Johor Bahru mendorong Astaka Padu Sdn Bhd dan Kimlun Corporation Berhad meneruskan kerjasama strategik menerusi pembangunan Amora Serviced Residence bernilai pembangunan kasar (GDV) RM450 juta di Tampoi, Johor Bahru.
Projek itu merupakan kerjasama keempat antara kedua-dua syarikat pemaju dan pembinaan berpangkalan di Johor, susulan sambutan positif terhadap pembangunan Arden @ One Bukit Senyum dan Aliva @ Mount Austin.
Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua syarikat berkata, pembangunan berkenaan akan dilaksanakan menerusi syarikat usaha sama sedia ada, Astaka Kimlun Sdn Bhd, dengan menggabungkan kepakaran Astaka Padu dalam pembangunan dan pemasaran hartanah serta keupayaan Kimlun dalam pembinaan dan pelaksanaan projek.
Amora Serviced Residence akan dibangunkan di atas tanah komersial pegangan bebas seluas kira-kira 2.45 ekar di Tampoi, bersebelahan Lebuhraya Pasir Gudang dan taman bandar seluas 15 ekar.
Lokasinya juga terletak kira-kira 15 minit pemanduan dari Stesen Sistem Transit Rapid (RTS) Bukit Chagar dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru, sekali gus menawarkan akses kepada rangkaian pengangkutan utama serta hubungan rentas sempadan Malaysia-Singapura.
Projek kediaman servis itu merupakan sebahagian daripada Amora Park, pembangunan bersepadu terbaharu Astaka Padu yang merangkumi 44 unit kedai pejabat, pusat beli-belah berkonsepkan kesejahteraan, hotel kesejahteraan serta hab pendidikan.
Menurut syarikat itu, keseluruhan pembangunan Amora Park dirancang sebagai destinasi bersepadu yang menggabungkan kediaman, perniagaan, pendidikan dan kemudahan gaya hidup berteraskan kesejahteraan serta persekitaran taman bandar.
Sambutan awal terhadap projek berkenaan menunjukkan permintaan memberangsangkan apabila kesemua 44 unit kedai pejabat yang dilancarkan awal bulan ini habis ditempah dalam tempoh hanya satu jam.
Kerjasama terbaharu itu turut memperkukuh hubungan strategik Astaka Padu dan Kimlun dalam pasaran hartanah Johor, khususnya bagi pembangunan bersepadu yang memanfaatkan pertumbuhan aktiviti ekonomi dan permintaan kediaman di Johor Bahru.- DagangNews.com






