Kontrak baharu MN Holdings petanda kitaran perbelanjaan modal semikonduktor kembali rancak - Maybank IB

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2026 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kontrak baharu MN Holdings petanda kitaran perbelanjaan modal semikonduktor kembali rancak - Maybank IB Image from: Kontrak baharu MN Holdings petanda kitaran perbelanjaan modal semikonduktor kembali rancak - Maybank IB amree08/09/2026 - 10:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Sept — Kontrak bekalan elektrik baharu yang diperoleh MN Holdings Berhad bagi pelanggan sektor semikonduktor berpotensi menjadi petunjuk awal kepada kitaran perbelanjaan modal (capex) baharu dalam industri tersebut, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Tambah firma itu, perkembangan berkenaan dilihat positif kerana permintaan terhadap infrastruktur bekalan tenaga dijangka meningkat seiring dengan pengembangan kapasiti dan pelaburan baharu pemain industri semikonduktor.

 

Ia merujuk kejayaan kumpulan tersebut baru-baru ini memperoleh kontrak daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi pemasangan kabel bawah tanah 275kV baharu untuk sambungan ke Intel Electronic Malaysia di Pulau Pinang.

 

"Kontrak bernilai RM67.3 juta itu diperoleh MN Holdings bersama Pembinaan Tajri Sdn Bhd (PTSB) menerusi konsortium usaha sama (JV) dengan pegangan 80:20, dan berdasarkan pegangan itu, nilai efektif projek kepada kumpulan adalah RM53.9 juta," kata Maybank IB.

 

Tender bekalan tenaga baharu ujar firma penyelidikan tersebut, terutama untuk pelanggan semikonduktor berpotensi menandakan permulaan semula kitaran capex dalam sektor semikonduktor, dengan tempoh pelaksanaan projek adalah selama 18 bulan.

 

Ia dijangka siap pada separuh pertama 2028 dengan andaian margin keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 7% bagi projek TNB, kontrak berkenaan dianggarkan menyumbang sekitar *RM3.7 juta kepada PAT MN Holdings sepanjang FY27 hingga FY28.

 

MN Holdings_DagangNews2026

 

Tambah Maybank IB, kontrak tersebut bukan sahaja menambah buku tempahan, malah memberi isyarat bahawa pelaburan infrastruktur berkaitan semikonduktor mungkin kembali meningkat selepas tempoh lebih berhati-hati dalam perbelanjaan modal.

 

"Keperluan terhadap bekalan elektrik yang stabil dan berkapasiti tinggi merupakan komponen penting bagi operasi kemudahan pembuatan semikonduktor, khususnya apabila pengeluar meningkatkan kapasiti pengeluaran dan membangunkan fasiliti baharu," katanya.

 

Justeru, peningkatan pelaburan dalam sektor berkenaan dijangka memberi manfaat kepada pemain kejuruteraan mekanikal dan elektrik (MEP) seperti MN Holdings yang mempunyai kepakaran dalam infrastruktur tenaga.

 

Kumpulan itu ujar Maybank IB, turut mempunyai pendedahan kukuh kepada projek berkaitan pusat data (DC) dan TNB, menjadikannya antara penerima manfaat utama daripada peningkatan permintaan terhadap infrastruktur tenaga.

 

Sementara itu, kemenangan kontrak terbaharu meningkatkan jumlah kontrak baharu bagi FY27 setakat tahun ini kepada RM288.4 juta, bersamaan 24% daripada sasaran pengisian semula buku tempahan FY27 sebanyak RM1.2 bilion.

 

Buku tempahan terkumpul MN Holdings kini meningkat kepada RM1.7 bilion, memberikan perlindungan hasil sekitar 1.9 kali ganda berdasarkan hasil FY26.

 

MN Holdings_DagangNews2026

 

"Kami turut melihat momentum pemberian kontrak TNB semakin rancak, dengan tender berkaitan TNB merangkumi 54% daripada buku tender kumpulan ini bernilai RM5 bilion, dan penganugerahan ini dilihat positif kerana ia menunjukkan peningkatan dalam pelaksanaan projek TNB,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan MN Holdings kerana kontrak berkenaan telah diambil kira dalam andaian pengisian semula buku tempahan FY27 sebanyak RM1.2 bilion.

 

Maybank IB turut mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM4.19 sesaham, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY27E sebanyak 21 kali.

 

Ujarnya, MN Holdings kekal sebagai pilihan utama firma penyelidikan dalam sektor MEP, disokong kedudukan kukuhnya dalam projek infrastruktur tenaga untuk pusat data dan TNB.

 

Dengan prospek pemulihan capex semikonduktor, momentum projek TNB yang semakin rancak serta buku pesanan RM1.7 bilion, MNH dilihat berada pada kedudukan baik untuk menikmati pertumbuhan pendapatan dalam tempoh beberapa tahun akan datang. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved