Usaha sama MN Holdings, Pembinaan Tajri menang kontrak kabel bawah tanah TNB bernilai RM67.3 juta di Pulau Pinang

LocalBusiness & Finance
7 Sep 2026 • 6:21 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Usaha sama MN Holdings, Pembinaan Tajri menang kontrak kabel bawah tanah TNB bernilai RM67.3 juta di Pulau Pinang Image from: Usaha sama MN Holdings, Pembinaan Tajri menang kontrak kabel bawah tanah TNB bernilai RM67.3 juta di Pulau Pinang hamden07/09/2026 - 18:21 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Sept - MN Holdings Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, MN Utilities Engineering Sdn. Bhd. (MNUE), bersama Pembinaan Tajri Sdn. Bhd. (PTSB), menerima kontrak bernilai RM67.32 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi pemasangan kabel bawah tanah (UGC) 275 kilovolt (kV) di Pulau Pinang.

 

Kontrak itu diperoleh melalui usaha sama (JV) tidak diperbadankan antara MNUE dan PTSB, dengan MNUE memegang kepentingan kerja sebanyak 80%, manakala PTSB sebanyak 20%.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin, MN Holdings berkata kontrak tersebut melibatkan pemasangan UGC 275kV baharu yang dikonfigurasi semula dari Titik LILO ke stesen suis Intel Electronic Malaysia bagi membekalkan bekalan pukal 275kV kepada Intel Penang.

 

Skop kerja merangkumi kejuruteraan, reka bentuk, pembekalan dan pemasangan UGC 275kV, selain kerja-kerja awam berkaitan termasuk mendapatkan permit, pemulihan permukaan dan struktur sedia ada serta pembersihan kawasan kerja.

 

Kontrak itu berkuat kuasa pada 4 September 2026 dan mempunyai tempoh pelaksanaan selama 540 hari dari tarikh permulaan kerja.

 

MN Holdings berkata MNUE dan PTSB bertanggungjawab secara bersama dan berasingan terhadap pelaksanaan serta penyempurnaan kerja-kerja di bawah kontrak berkenaan.

 

Pihak usaha sama turut dikehendaki menyediakan jaminan pelaksanaan berjumlah RM3.37 juta, bersamaan 5% daripada nilai kontrak, dalam tempoh 56 hari dari 4 September 2026.

 

“Kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa hadapan dan aset bersih sesaham Syarikat selepas permulaan kerja,” katanya.

 

MN Holdings turut menjelaskan bahawa kontrak berkenaan tidak memberi sebarang kesan terhadap modal saham terbitan atau pegangan pemegang saham utama syarikat.

 

Penganugerahan terbaharu itu meneruskan momentum MN Holdings dalam memperoleh projek berkaitan TNB, selepas kumpulan sebelum ini meraih kontrak RM122.3 juta bagi pemasangan kabel bawah tanah 132kV di Tasek Gelugor dan kontrak RM71 juta bagi projek pencawang di Cameron Highlands.

 

Kontrak TNB juga kekal sebagai salah satu pemacu penting kepada buku tempahan MN Holdings, dengan projek berkaitan TNB membentuk sebahagian besar daripada tender aktif yang sedang diburu kumpulan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved