MN Holdings manfaatkan pemulihan perbelanjaan modal sektor semikonduktor melalui kontrak TNB - Maybank IB

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2026 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MN Holdings manfaatkan pemulihan perbelanjaan modal sektor semikonduktor melalui kontrak TNB - Maybank IB Image from: MN Holdings manfaatkan pemulihan perbelanjaan modal sektor semikonduktor melalui kontrak TNB - Maybank IB amree08/09/2026 - 10:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 SeptMN Holdings Berhad berpotensi meraih manfaat pemulihan perbelanjaan modal (capex) sektor semikonduktor, menerusi pemerolehan kontrak bernilai RM67.3 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi pemasangan kabel bawah tanah 275kV untuk menyokong bekalan elektrik kepada operasi Intel di Pulau Pinang, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Ujarnya, kontrak terbaharu itu bukan sahaja mengukuhkan buku tempahan kumpulan, malah boleh menjadi petunjuk awal kepada kitaran baharu capex sektor semikonduktor, ketika keperluan infrastruktur tenaga bagi menyokong kapasiti pengeluaran industri tersebut terus meningkat.

 

Firma penyelidikan itu melihat perkembangan berkenaan secara positif kerana ia turut menunjukkan kepantasan pelaksanaan projek TNB, dengan tender berkaitan TNB kini menyumbang kira-kira 54% daripada keseluruhan buku tender MNH bernilai RM5 bilion.

 

"Kontrak tersebut diperoleh MN Utilities Engineering Sdn Bhd (MNUE), anak syarikat milik penuh MNH, bersama Pembinaan Tajri Sdn Bhd (PTSB) melalui usaha sama tidak diperbadankan dengan pegangan kerja masing-masing 80% dan 20%," kata Maybank IB dalam analisisnya.

 

Berdasarkan pegangan 80% MNUE, nilai efektif projek kepada MNH ialah kira-kira RM53.9 juta, sekali gus meningkatkan buku tempahan terkumpul syarikat itu kepada sekitar RM1.7 bilion, bersamaan kira-kira 1.9 kali hasil FY26.

 

Skop projek merangkumi pemasangan kabel bawah tanah konfigurasi semula 275kV dari Titik LILO ke stesen suis Intel Electronic Malaysia bagi bekalan pukal 275kV kepada Intel Penang, selain kerja kejuruteraan, reka bentuk, pembekalan, pemasangan dan kerja awam berkaitan.

 

MN Holdings_DagangNews2026

 

Projek itu mempunyai tempoh pelaksanaan selama 18 bulan dan dijangka siap pada separuh pertama 2028, dengan Maybank IB menganggarkan kontrak tersebut menyumbang RM3.7 juta keuntungan selepas cukai (PAT) kepada MN Holdings sepanjang FY27 hingga FY28, dengan andaian margin 7% bagi projek TNB.

 

"Dengan kemenangan kontrak terbaharu itu, jumlah projek baharu bagi FY27 setakat ini meningkat kepada RM288.4 juta, bersamaan 24% daripada anggaran pengisian semula buku tempahan FY27 kami sebanyak RM1.2 bilion," kata firma penyelidikan tersebut.

 

Ujarnya, perkembangan tersebut memberi keyakinan terhadap momentum perolehan projek, namun syarikat masih perlu mengekalkan kadar kemenangan tender yang kukuh bagi mencapai sasaran pengisian semula buku tempahan RM1.2 bilion yang diunjurkan bagi FY27.

 

Justeru Maybank IB mengekalkan unjuran pendapatan MN Holdings kerana kontrak terbaharu tersebut sudah diambil kira dalam anggaran pengisian semula buku tempahan FY27, dan turut mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM4.19 sesaham.

 

Pada masa sama ia mengekalkan kumpulan itu sebagai pilihan utama sektor kejuruteraan mekanikal, elektrikal dan paip (MEP), disokong kedudukan kukuh kumpulan dalam projek infrastruktur tenaga untuk pusat data dan TNB.

 

"Kami melihat peningkatan keperluan tenaga bagi industri semikonduktor boleh membuka ruang pertumbuhan baharu kepada kumpulan sekiranya kitaran capex sektor tersebut benar-benar kembali rancak," ujarnya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved