Pekat peroleh kontrak RM23 juta daripada Dutch Lady pasang sistem solar di Bandar Enstek

LocalBusiness & Finance
12 May 2026 • 2:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pekat peroleh kontrak RM23 juta daripada Dutch Lady pasang sistem solar di Bandar Enstek Image from: Pekat peroleh kontrak RM23 juta daripada Dutch Lady pasang sistem solar di Bandar Enstek amree12/05/2026 - 14:26 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 MeiPekat Group Berhad memperoleh kontrak bernilai RM23.04 juta daripada Dutch Lady Milk Industries Berhad bagi pembangunan sistem solar fotovoltaik (PV) di Negeri Sembilan.


Dalam kenyataan, kumpulan rumusan tenaga lestari itu berkata, ia melibatkan perjanjian pembelian tenaga (PPA) oleh anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, Pekat Solar Sdn Bhd pada 12 Mei 2026.


Ia akan mereka bentuk, membina, memasang, memiliki, mengendalikan dan menyelenggara sistem solar PV yang berkapasiti 3,960.13 kilowatt peak (kWp) di fasiliti Dutch Lady itu di Bandar Enstek, Nilai.


"Sistem tersebut akan dipasang di atas bumbung premis bagi menjana dan membekalkan tenaga solar kepada kilang syarikat pengeluar produk tenusu berkenaan," maklum Pekat kepada Bursa Malaysia.


Langkah itu ujarnya, mampu mengukuhkan kedudukan dalam segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) kerana tempoh PPA selama 15 tahun dari tarikh operasi komersial (COD) dijangka suku keempat 2026.


Sepanjang tempoh perjanjian berkenaan, kumpulan tersebut akan terus memiliki sistem solar PV itu, dengan nilai projek ditetapkan berdasarkan kepada hasil unjuran pendapatan semasa tempoh kontrak.


Tiga bulan sebelum tamat tempoh PPA, Dutch Lady mempunyai pilihan sama ada memperbaharui perjanjian RE itu atau mengambil alih pemilikan sistem solar berkenaan tertakluk kepada persetujuan bersama.


"Bagaimanapun, kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan sepanjang tempoh perjanjian dikuatkuasakan," kata Pekat menerusi kenyataan berkenaan.


Kumpulan itu turut memaklumkan ia tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi normal dan risiko ketidaksiapan projek yang lazim bagi pembangunan fasiliti tenaga solar.


Lembaga pengarah syarikat tersebut berpandangan penerimaan kontrak itu adalah dalam urusan perniagaan biasa dan merupakan langkah terbaik demi kepentingan kumpulan. - DagangNews.com

Terkini standard