Kontrak GTA selenggara lima helikopter Gading Kasturi dilanjutkan hingga 2028

LocalBusiness & Finance
7 Oct 2026 • 6:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kontrak GTA selenggara lima helikopter Gading Kasturi dilanjutkan hingga 2028 Image from: Kontrak GTA selenggara lima helikopter Gading Kasturi dilanjutkan hingga 2028 liza07/10/2026 - 18:15 Kredit gambar Gading Kasturi Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Okt – GTA Holdings Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Global Turbine Asia Sdn Bhd melanjutkan perjanjian sokongan enjin dengan Gading Kasturi Sdn Bhd (GKSB) sehingga 30 September 2028.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, GTA berkata pelanjutan itu dimuktamadkan menerusi pertukaran dokumen bagi Pindaan No 02 kepada perjanjian sokongan sedia ada, iaitu perjanjian Sokongan Mengikut Jam bagi enjin Safran Helicopter Engines Arrius 2F yang digunakan pada helikopter Airbus EC120B.

 

Perjanjian berkenaan kini menyokong lima helikopter EC120B yang dikendalikan GKSB bagi tujuan latihan penerbangan.

 

Di bawah perjanjian SBH itu, Global Turbine menyediakan khidmat sokongan penyelenggaraan enjin secara menyeluruh, termasuk penyelenggaraan enjin, sokongan pertukaran standard, sokongan alat ganti serta perkhidmatan berkaitan.

 

GTA berkata, program sokongan berkenaan direka untuk membantu meningkatkan ketersediaan armada serta kebolehpercayaan operasi, selain membolehkan pelanggan membuat perancangan penyelenggaraan dengan lebih berkesan.

 

Pelanjutan perjanjian itu turut mencerminkan tumpuan GTA untuk mengukuhkan hubungan pelanggan menerusi program sokongan jangka panjang serta menyediakan akses kepada kepakaran khusus dalam sokongan penerbangan.

 

Kerjasama jangka panjang sokong kesiapsiagaan penerbangan

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GTA, Datuk Nonee Ashirin Datuk Mohd Radzi berkata Simposium Pelanggan GTA 2026 menjadi platform untuk mengukuhkan kerjasama dalam ekosistem penerbangan.

 

“Pertukaran dokumen dengan GKSB semasa simposium itu menggariskan kepentingan kerjasama industri jangka panjang dalam menyokong pertumbuhan mampan sektor ini.

 

“Simposium berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada keupayaan teknikal dan perkembangan industri, malah menyediakan ruang untuk GTA berinteraksi dengan pelanggan, rakan pengeluar peralatan asal (OEM) dan pihak berkepentingan,” katanya.

 

GTA mahu perkukuh ekosistem aeroangkasa

Simposium Pelanggan GTA 2026 yang bertemakan “Engineered By Trust” menghimpunkan pengendali penerbangan, wakil pengeluar peralatan asal (OEM), rakan industri dan pihak berkepentingan dari rantau ini.

 

Program itu turut merangkumi perbincangan mengenai kesiapsiagaan penerbangan, kelangsungan operasi armada, pembangunan keupayaan teknikal serta keperluan sektor aeroangkasa yang semakin berkembang.

 

Menurut GTA, simposium berkenaan turut mengukuhkan komitmennya untuk menyokong pembangunan berterusan ekosistem penerbangan dan aeroangkasa Malaysia menerusi peningkatan keupayaan, penglibatan industri serta pengukuhan kerjasama jangka panjang di seluruh rantaian nilai.

 

GTA Holdings merupakan syarikat pegangan pelaburan, manakala Global Turbine merupakan syarikat sokongan penerbangan khusus yang menyediakan perkhidmatan berkaitan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), dengan tumpuan kepada enjin helikopter dan pesawat sayap tetap serta komponen berkaitan.

 

Global Turbine beroperasi dari Pusat Helikopter di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk pelanggan dalam segmen industri penerbangan yang dikawal selia serta kritikal kepada operasi, termasuk pengendali penerbangan, pelanggan berkaitan MRO dan pasaran berkaitan pertahanan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved