
TRAGEDI helikopter terhempas yang menimpa petugas kesihatan di Sarawak minggu lalu meruntun hati orang ramai dan menimbulkan pelbagai persoalan.
Susulan nahas yang meragut lima nyawa itu, ramai yang menyuarakan kebimbangan terhadap fasiliti dan aset sektor perkhidmatan awam.
Malah masalah kemudahan di hospital dan klinik kesihatan yang uzur juga kerap dibangkitkan oleh pengguna di media sosial sebelum ini.
Menurut Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Aidalina Mahmud, sistem pengurusan aset yang jelas penting kerana berkait rapat dengan keselamatan pesakit dan kecekapan penggunaan dana awam.
Katanya, setiap aset perlu mempunyai rekod lengkap dan kerajaan mempunyai prinsip Pengurusan Aset Menyeluruh.
“Persoalan sebenar mungkin bukan sama ada Malaysia mempunyai dasar, tetapi sama ada dasar itu dilaksanakan secara konsisten, dibiayai dengan mencukupi dan dipantau menggunakan data yang boleh dipercayai,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Dr. Aidalina berkata, rungutan mengenai peralatan lama atau kemudahan uzur boleh dilihat sebagai isyarat amaran serius, tetapi belum cukup untuk membuktikan keseluruhan sistem gagal.
“Penilaian keadaan sebenar aset perlu dibuat berdasarkan data. Namun begitu, kebimbangan ini bukan sesuatu yang baru atau tidak berasas. Kertas Putih Kesihatan mengakui pelaburan kesihatan yang tidak mencukupi menjejas keupayaan menutup jurang infrastruktur,” katanya.
Dokumen itu turut menyatakan banyak fasiliti di kawasan luar bandar dan pedalaman memerlukan pembaikan atau penggantian.
“Saya percaya Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan cakna tentang hal ini dan tindakan penambahbaikan sudah dan sedang diambil.
“Pandangan saya, amalan dan proses kerja berkaitan pengurusan aset mungkin perlu dinilai semula secara jujur dengan menggunakan data yang boleh dipercayai, penilaian realistik, sentiasa memikirkan kebajikan petugas dalam membuat keputusan, bukan tertakluk kepada nilai ringgit semata-mata,” ujarnya.
Katanya, penyelenggaraan, penggantian aset dan naik taraf teknologi perlu diberi penekanan sama dari segi kepentingan dasar dan perancangan walaupun jumlah peruntukan tidak sama.
“Bangunan baharu tanpa peruntukan operasi, penyelenggaraan, penggantian peralatan dan tenaga kerja yang mencukupi hanya memindahkan masalah ke masa hadapan,” katanya.
Justeru itu, perubahan yang penting adalah mengangkat budaya penjagaan aset kerana kejayaan tidak boleh diukur berdasarkan berapa banyak bangunan atau mesin dibeli.
“Keutamaan penggantian aset hendaklah berdasarkan risiko kepada pesakit dan jurang akses, bukan siapa yang paling kuat membuat aduan atau fasiliti mana yang paling berprofil tinggi,” katanya.
Selain itu, KKM perlu sedar, aset terbesar ialah sumber manusia termasuk doktor, jururawat, pegawai kesihatan bersekutu, juruteknik, jurutera dan kakitangan sokongan.
Oleh itu, sebarang aset lain yang membantu dalam aktiviti sumber manusia ini mesti dipastikan berfungsi baik supaya petugas dapat melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.
The post Selenggara, pembangunan fasiliti KKM perlu seiring appeared first on Kosmo Online.






