liza09/09/2026 - 11:45 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Sept – Pembukaan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru–Singapura pada 1 Januari 2027 bakal menjadi pemangkin utama kepada Hi Mobility Berhad dengan syarikat itu dilihat berpeluang besar mendapatkan kontrak bas pengantara untuk menghubungkan penumpang dari stesen Bukit Chagar ke destinasi lain.
AmInvestment Bank (AmInvest) berkata, bas pengantara dijangka menjadi pengangkutan utama untuk membawa penumpang RTS ke destinasi lain apabila perkhidmatan itu mula beroperasi pada 1 Januari 2027 kerana sistem Transit Aliran Bas Elektrik Autonomi (e-ART) mungkin tidak tersedia ketika itu.
Menurut firma penyelidikan itu, RTS dijangka mengendalikan sehingga 10,000 penumpang sejam yang mewujudkan keperluan terhadap rangkaian bas pengantara bagi melancarkan pergerakan penumpang serta mengurangkan kesesakan di kawasan Bukit Chagar.
Kontrak Sistem Bas Berjadual (SBST) sedia ada Hi Mobility di Johor bernilai RM283 juta akan tamat pada Mac 2027 dan AmInvest menjangkakan syarikat itu berpeluang meneruskan perkhidmatan berkenaan menerusi kontrak baharu yang turut merangkumi laluan bas pengantara RTS.
“Kami menjangkakan kontrak baharu selama lima tahun itu boleh bernilai antara RM500 juta hingga RM800 juta, atau sekitar dua hingga tiga kali ganda nilai kontrak sedia ada, selain merangkumi laluan bas pengantara RTS,” kata AmInvest dalam nota kajiannya.
Kontrak RTS berpotensi tambah keuntungan
Berdasarkan anggaran margin keuntungan bersih sebanyak 5%, kontrak baharu itu berpotensi menyumbang tambahan keuntungan tahunan antara RM2.2 juta hingga RM5.2 juta kepada Hi Mobility.
AmInvest berkata, tambahan keuntungan tersebut boleh meningkatkan keuntungan syarikat sekitar 3% hingga 6% bagi tahun kewangan 2028 hingga 2029.
Firma itu pada masa sama mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap Hi Mobility dengan harga sasaran RM3.10 sesaham, berbanding harga saham RM1.77, yang mencerminkan potensi kenaikan sekitar 75%.
Saranan itu turut mengambil kira kejatuhan harga saham Hi Mobility kira-kira separuh sejak awal tahun ini, menyebabkan saham tersebut kini didagangkan pada hanya 11 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) tahun kewangan 2028 berdasarkan unjuran.
AmInvest menetapkan harga sasaran RM3.10 berdasarkan penilaian 20 kali P/E tahun kewangan 2028, sejajar dengan penilaian purata syarikat setara dalam sektor pengangkutan awam dan perkhidmatan mobiliti bersepadu.

Pertumbuhan rentas sempadan turut disokong RTS
Dalam pada itu, AmInvest menjangkakan hasil perniagaan rentas sempadan Hi Mobility meningkat 6% tahun ke tahun pada FY27, dengan jumlah penumpang diunjurkan berkembang 3% dan kadar penggunaan kapasiti antara 75% hingga 80%.
Pembukaan RTS mulai Januari 2027 dijangka membawa tambahan kira-kira 40,000 pengunjung sehari ke Johor Bahru, sekali gus berpotensi meningkatkan trafik rentas sempadan sekitar 32%.
Firma penyelidikan itu berkata, aliran trafik yang lebih lancar di Tambak Johor dijangka memendekkan masa perjalanan bas dan membolehkan Hi Mobility melakukan lebih banyak perjalanan.
“Pada masa sama, laluan terus ke pelbagai destinasi yang ditawarkan Hi Mobility serta tambang sekitar 36% lebih murah berbanding RTS dijangka membantu syarikat mengekalkan permintaan penumpang dan mengehadkan pengalihan penumpang kepada perkhidmatan rel.
“Perniagaan rentas sempadan menyumbang kira-kira 60% daripada hasil Hi Mobility dan dijangka berkembang 6% pada FY27, disokong peningkatan permintaan perjalanan selepas operasi RTS bermula,” katanya.
Bas elektrik buka peluang pertumbuhan baharu
Selain manfaat daripada RTS, AmInvest melihat tender bas elektrik Prasarana sebagai satu lagi peluang pertumbuhan penting kepada Hi Mobility melalui anak syarikatnya, Acacia.
Tender berkenaan meliputi sehingga 1,350 bas, terdiri daripada 645 unit di bawah Fasa 2A, dengan pilihan tambahan 555 bas Fasa 2B dan 150 bas untuk LRT3.
AmInvest menganggarkan Acacia berpotensi memperoleh 30% daripada tender Fasa 2A, bersamaan kira-kira 194 bas, yang boleh menjana hasil RM186 juta dan keuntungan bersih sekitar RM9 juta berdasarkan margin 5%.
Jika penghantaran bas dibahagikan sama rata antara FY28 dan FY29, perolehan itu berpotensi meningkatkan keuntungan Hi Mobility sekitar 5% hingga 6% setahun.
Secara keseluruhan, AmInvest menjangkakan hasil Hi Mobility meningkat daripada RM317.7 juta pada FY26 kepada RM470.2 juta pada FY27, RM500.3 juta pada FY28 dan RM534.9 juta pada FY29, manakala keuntungan bersih diunjurkan meningkat daripada RM56.5 juta kepada RM75.5 juta, RM81.9 juta dan RM86.2 juta dalam tempoh sama.
Namun, antara risiko yang ada termasuk pembaharuan kontrak Sistem Bas Berjadual (SBST), persaingan daripada RTS dan mod pengangkutan lain serta perubahan dasar dan keadaan ekonomi yang boleh meningkatkan kos operasi. - DagangNews.com






