Kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aset pertahanan negara tidak lagi akan diberikan kepada syarikat asing, kecuali membabitkan keperluan masa dan waranti.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendekatan itu diambil bagi membuka lebih banyak ruang kepada syarikat tempatan untuk terlibat secara langsung dalam industri pertahanan negara.
Ketika ini, katanya, sebanyak 18 syarikat asing dari pelbagai negara masih menjalankan kerja MRO untuk Kementerian Pertahanan, namun kontrak berkenaan tidak akan disambung.
Nilai kontrak MRO terbabit pula bukan kecil apabila berada dalam lingkungan RM100 juta sehingga RM1 bilion.
“Semua kerja-kerja MRO, melainkan yang melibatkan masa dan waranti, kita tidak akan berikan lagi kepada syarikat asing.
“Sekarang ini ada 18 syarikat asing yang masih melaksanakan MRO, kita beri penekanan, kita tidak akan sambung, kena cari jalan sama ada bekerjasama dengan syarikat tempatan ataupun bangunkan syarikat tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke syarikat pertahanan tempatan, High Point Worldwide Sdn Bhd, pada Rabu.
Menurut Mohamed Khaled, sudah tiba masanya kontrak MRO bernilai besar itu membuka peluang lebih luas kepada pemain tempatan, sekali gus membantu membina kepakaran serta ekosistem industri pertahanan dalam negara.

Langkah berkenaan juga dilihat penting untuk mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap pihak luar dalam menguruskan keperluan aset pertahanan.
“Kalau kita tidak lakukan ini, kita banyak rugi, pertama, kita akan terus bergantung kepada negara-negara lain, nak beli skru pun beli daripada luar negara.
“Kita ada banyak universiti teknikal dan graduan dengan kemahiran tinggi, jadi, apabila kita lakukan ini, semua ini akan ada kesan-kesan spin-off daripada usaha kita,” jelasnya.
Dalam usaha memperkukuh rantaian industri tempatan, Kementerian Pertahanan turut menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus penggunaan komponen tempatan bagi sesetengah perolehan aset pertahanan.
Pendekatan berkenaan bukan sekadar bertujuan meningkatkan penggunaan produk tempatan, malah berpotensi mewujudkan kesan limpahan kepada industri, peluang pekerjaan dan pembangunan kepakaran dalam negara.

Mohamed Khaled berkata, penelitian terhadap komponen kos turut dilakukan dalam bidang teknologi maklumat (IT), khususnya bagi memastikan harga yang ditawarkan benar-benar selari dengan tenaga kerja serta komponen yang digunakan.
“Kita nak tahu pecahan, dalam banyak hal, kalau IT itu pekerjanya orang tempatan, tetapi bila masuk tender, seolah-olah gaji pekerja itu macam dibayar dalam dolar Amerika atau Euro, padahal dalam Ringgit Malaysia.
“Atas sebab itu kita tengok mengapa terlalu mahal, kita nak tahu pecahan,” ujarnya.
Menurutnya, penyertaan lebih besar syarikat tempatan merupakan antara langkah penting dalam membina keupayaan negara sendiri, khususnya dari sudut pembangunan aset dan kesiagaan pertahanan.
“Kita mahu negara mempunyai keupayaan untuk mempunyai aset dan kesiagaan yang baik kerana kita bekerjasama dengan syarikat tempatan,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, lawatan Mohamed Khaled ke High Point Worldwide Sdn Bhd (HPWW) turut bertujuan meninjau keupayaan syarikat berkenaan dalam menyokong keperluan pertahanan negara, sekali gus mendukung aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN). Lawatan berkenaan turut mengetengahkan perkembangan HPWW sebagai syarikat tempatan yang membina keupayaan daripada aspek pembekalan kepada pelaksanaan kerja kejuruteraan dan pembuatan tempatan.
Bersempena lawatan itu, Mohamed Khaled turut menyempurnakan penamaan rasmi Kenderaan Trak 3 Tan GS Kargo hasil buatan HPWW sebagai RENTAS. Secara keseluruhan, sebanyak 18 jenis kenderaan atau aset pelbagai varian dipersembahkan, antaranya Kenderaan TEDUNG dengan varian Pembawa Senjata Heavy Machine Gun (HMG) dan Automatic Grenade Launcher (AGL), High Mobility Reconnaissance Vehicle (HMRV) KALA serta RENTAS.
Antara aset lain yang dipersembahkan ialah Kenderaan 3 Tan Pos Rintah, Kenderaan 7 Tan GS Kargo, Kenderaan 10 Tan GS Kargo, Domestic Fire Truck (DFT), Tactical Boat Carrier dan Kenderaan Pembawa Kuda (Horse Float). Kesemua aset yang dipamerkan itu telah diguna pakai oleh Tentera Darat Malaysia, manakala lawatan berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh industri pertahanan tempatan serta meningkatkan penglibatan syarikat Bumiputera dalam sektor berkenaan.





