HULU SELANGOR – Sebanyak 536 kenderaan tentera membabitkan kira-kira 18 varian akan mula diserahkan kepada Tentera Darat Malaysia (TDM) secara berperingkat mulai hujung bulan ini hingga akhir 2028.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesemua kenderaan berkenaan sedang dalam proses pembuatan oleh syarikat tempatan, High Point Worldwide Sdn Bhd (HPWW).
"MINDEF juga telah bersetuju untuk membuat perolehan 34 kenderaan selain 100 kenderaan HMRV 'KALA' dan 163 Kenderaan Pembawa Senjata 'TEDUNG' keluaran syarikat sama, dengan penyerahan akan mula dilaksanakan hujung bulan ini.
"Secara keseluruhan, 536 kenderaan pelbagai jenis membabitkan kira-kira 18 varian akan diserahkan secara berperingkat sehingga akhir 2028,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan rasmi ke Kompleks Kejuruteraan HPWW di Bukit Beruntung di sini pada Rabu.
**media[3670263]**
Menurut Mohamed Khaled, pemberian kontrak kerajaan kepada syarikat tempatan bukan hanya dinilai berdasarkan kemampuan menyiapkan dan menyerahkan aset, sebaliknya sumbangan syarikat dalam membangunkan ekosistem industri pertahanan negara turut diberi perhatian.
"Ini kerana kita mahu melihat bagaimana syarikat tempatan dapat membangunkan keupayaan, bukan sahaja dari segi pembekalan, tetapi juga kerja kejuruteraan dan pembuatan tempatan.
"Keupayaan ini penting dalam usaha kita memperkukuh industri pertahanan negara serta memastikan kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.
Dalam lawatan itu, Mohamed Khaled turut meninjau kemudahan teknikal, sokongan logistik bersepadu, integrasi dan pemasangan serta fabrikasi di kompleks kejuruteraan HPWW yang berkeluasan lima ekar.
Sebanyak 11 jenis kenderaan atau aset pelbagai varian turut dipersembahkan, antaranya Kenderaan 'TEDUNG' dengan varian pembawa senjata Heavy Machine Gun (HMG) dan Automatic Grenade Launcher (AGL), HMRV 'KALA' serta Kenderaan 3 Tan GS Kargo.
Turut dipamerkan ialah Kenderaan 3 Tan Pos Rintah, Kenderaan 7 Tan GS Kargo, Kenderaan 10 Tan GS Kargo, Domestic Fire Truck (DFT), Tactical Boat Carrier dan Pembawa Kuda (Horse Float).
Bersempena lawatan itu, Mohamed Khaled turut menyempurnakan penamaan rasmi Kenderaan Trak 3 Tan GS Kargo buatan HPWW yang kini dikenali sebagai RENTAS.
Penamaan itu disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.






