
HULU SELANGOR – Kementerian Pertahanan tidak akan menyambung kontrak 18 syarikat asing yang masih melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aset pertahanan negara.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendekatan itu dibuat bagi memberi lebih banyak ruang kepada syarikat tempatan membangunkan keupayaan dalam industri pertahanan negara.
Menurut beliau, pengecualian hanya diberikan bagi kerja MRO yang masih tertakluk dalam tempoh jaminan atau waranti pengeluar.
“Kita dah letakkan syarat, macam saya telah umumkan dalam Parlimen, bahawa semua kerja-kerja MRO, melainkan yang melibatkan masa waranti, kita tak akan berikan lagi kepada syarikat asing.
“Sekarang ini ada 18 syarikat asing yang masih melaksanakan MRO, yang datangnya daripada pelbagai negara. Kita beri penekanan, kita tak akan sambung. Dia kena cari jalan sama ada bekerjasama dengan syarikat tempatan ataupun bangunkan syarikat tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke syarikat pertahanan tempatan, High Point Worldwide di sini hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, langkah memperkukuh penglibatan syarikat tempatan penting bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap pihak luar termasuk dalam membekalkan komponen asas bagi aset pertahanan.
Katanya, Malaysia mempunyai universiti teknikal selain graduan berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekosistem industri pertahanan tempatan.
“Kerana kalau kita tak lakukan ini, kita banyak rugi. Antaranya, pertama kita akan terus bergantung kepada negara-negara lain. Nak beli skru pun beli daripada luar negara dan kita tak bangunkan keupayaan.
“Kita ada banyak universiti-universiti teknikal, kita ada banyak hasil-hasil graduan kemahiran yang tinggi. Jadi bila kita lakukan ini, semua ini akan ada kesan-kesan limpahan daripada usaha kita,” katanya.
Tegasnya lagi, pendekatan tersebut merupakan sebahagian usaha membantu negara membangunkan keupayaan sendiri dalam sektor pertahanan serta memastikan kerjasama dengan syarikat tempatan dapat memberi manfaat lebih besar kepada negara.
Katanya, nilai kontrak MRO yang terlibat bukan kecil apabila ada antaranya bernilai sekitar RM100 juta sehingga mencecah RM1 bilion.
“Jadi kita berpendapat dah sampai masanya mesti itu diberikan kepada syarikat-syarikat tempatan.
“Ini masa untuk bantu negara supaya negara mempunyai keupayaan untuk mempunyai aset dan kesejahteraan yang baik kerana kita bekerjasama dengan syarikat tempatan,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post 18 syarikat asing buat MRO tak akan disambung kontrak appeared first on Kosmo Online.





