hamden15/09/2026 - 09:14 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Sept - Kelington Group Bhd (KGB) mencatat kejayaan terbesar dalam sejarah kumpulan selepas memperoleh kontrak turnkey bernilai RM1.83 bilion (AS$452 juta) daripada pelanggan di India, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam industri kejuruteraan semikonduktor global.
RHB Research berkata kontrak berkenaan merupakan kemenangan kontrak terbesar KGB sejak penubuhannya, selain menjadi kontrak kejuruteraan termaju/hook-up terbesar daripada pelanggan yang sedang membangunkan kemudahan fabrikasi semikonduktor pertamanya di Gujarat, India.
Kontrak itu merangkumi keseluruhan kerja hook-up kemudahan, termasuk reka bentuk, pemasangan, penyambungan, pengujian dan penyerahan peralatan pembuatan, makmal serta sokongan bagi dua modul kemudahan.
Kerja tersebut disasarkan siap pada Februari 2029 dalam tempoh 30 bulan, manakala nilai kontrak akan diselaraskan berdasarkan jumlah sebenar peralatan bagi kedua-dua modul berkenaan.
“Anggaran sementara peralatan itu adalah sehingga 886 peralatan bagi kedua-dua modul berkenaan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Kontrak terbaharu itu menyusuli perolehan pakej gas kimia daripada pelanggan sama pada Mac lalu bernilai AS$105 juta (RM413.7 juta).
Menurut firma penyelidikan itu, kemenangan terbaharu KGB turut mengukuhkan penguasaan kumpulan terhadap buku tempahan di India, dengan nilai indikatif sebelum pelarasan sebanyak RM2.4 bilion, berdasarkan andaian buku pesanan 2Q26 yang belum direalisasikan sebanyak RM567 juta.
Menanti tender besar RM4.7 bilion akhir 2026
Dalam pada itu (KGB) dijangka menerima keputusan tender berskala besar bernilai kira-kira RM4.7 bilion dari Singapura dan Malaysia menjelang akhir tahun, sekali gus memberi prospek positif terhadap pertumbuhan buku tempahannya.
Tender dari Singapura berjumlah RM3.7 bilion, mewakili 49% daripada keseluruhan buku tender KGB pada suku kedua tahun kewangan 2026 (2Q26), manakala tender dari Malaysia bernilai RM995 juta atau 13.3%.
Perkembangan itu dilihat berpotensi menyokong momentum perolehan kontrak KGB, selepas kumpulan tersebut baru-baru ini memperoleh kontrak hook-up terbesar dalam sejarahnya bernilai RM1.83 bilion daripada pelanggan di India.
Kemenangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif perolehan kontrak KGB setakat tahun ini kepada paras rekod RM3.6 bilion, mengatasi keseluruhan perolehan kontrak bagi FY23 hingga FY25.
“Secara positif, keputusan tender berskala besar dijangka diumumkan menjelang akhir tahun, termasuk RM3.7 bilion dari Singapura dan RM995 juta dari Malaysia,” katanya dalam nota penyelidikan.
RHB Research mengekalkan saranan BELI terhadap KGB dan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM11.70 daripada RM10.50, mencerminkan potensi kenaikan 36% serta hasil kira-kira 2%.
TP baharu itu termasuk premium alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebanyak 6% dan berasaskan 35 kali EPS FY27, bersamaan +2 sisihan piawai daripada purata P/E sejarah Indeks Teknologi Bursa Malaysia (KLTEC).
Penganalisis berkata penilaian premium itu wajar mengambil kira pendedahan strategik KGB kepada rantaian nilai semikonduktor global peringkat hadapan, yang sedang menyaksikan pengembangan perbelanjaan modal secara agresif untuk tempoh beberapa tahun.
Dalam pada itu, firma berkenaan menaikkan unjuran FY26-FY28 KGB masing-masing sebanyak 1%, 11.2% dan 15%, selepas meningkatkan andaian pengisian semula buku pesanan serta membuat pelarasan terhadap andaian margin.
Ia menjangkakan pendapatan teras KGB berkembang 29.3% pada FY26F dan seterusnya 38.6% pada FY27F, disokong buku pesanan serta buku tender yang kukuh. - DagangNews.com





