M-REIT kekal menarik walaupun konsesi cukai pegangan tamat – RHB Research

Business & FinanceProperty
15 Sep 2026 • 10:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

M-REIT kekal menarik walaupun konsesi cukai pegangan tamat – RHB Research Image from: M-REIT kekal menarik walaupun konsesi cukai pegangan tamat – RHB Research hamden15/09/2026 - 10:40 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Sept – Keputusan kewangan suku kedua 2026 (2Q26) bagi amanah pelaburan hartanah Malaysia (M-REIT) secara keseluruhannya mengesahkan semula pandangan positif terhadap sektor berkenaan di sebalik tekanan daripada hasil bon yang lebih tinggi serta tamatnya konsesi cukai pegangan.

 

RHB Research berkata, pihaknya terus menyukai M-REIT disokong asas operasi yang kekal sihat serta prospek agihan yang stabil dalam persekitaran makroekonomi yang tidak menentu.

 

“Kesemua lapan M-REIT di bawah liputan kami mencatat keputusan 2Q26 yang memenuhi jangkaan.

 

“Berdasarkan wajaran permodalan pasaran, hasil dan pendapatan sektor masing-masing meningkat 14.5% dan 15.6% tahun ke tahun (YoY),” katanya dalam nota penyelidikan.

 

Bagaimanapun, hasil dan pendapatan sektor masing-masing susut 3.2% dan 6.5% suku ke suku (QoQ), terutamanya disebabkan prestasi runcit yang lebih lemah secara bermusim.

 

Firma itu berkata, petunjuk operasi M-REIT kekal sihat dengan kadar penghunian secara amnya stabil, pembaharuan kadar sewa yang positif serta permintaan penyewaan yang berdaya tahan.

 

Pembetulan harga tingkatkan hasil sektor

Dalam pada itu, Indeks REIT Bursa Malaysia (KLREI) masih berprestasi rendah berbanding pasaran lebih luas setakat tahun ini, dipengaruhi tamatnya konsesi cukai pegangan yang telah lama berkuat kuasa serta peningkatan hasil bon.

 

Namun, keadaan itu turut mewujudkan penilaian yang lebih menarik bagi sektor berkenaan apabila pembetulan harga saham M-REIT meningkatkan hasil sektor.

 

Jurang antara KLREI dan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun kini berada pada kira-kira 220 mata asas, hampir +1 sisihan piawai (+1SD) di atas purata jangka panjang.

 

“Walaupun hasil bon meningkat, pembetulan harga saham M-REIT turut meningkatkan hasil sektor, sekali gus mengekalkan jurang pada paras menarik.

 

“Dengan asas sektor yang semakin baik, kami percaya penyahhargaan sektor telah memperbaiki nisbah risiko-ganjaran pada penilaian semasanya,” katanya.

 

Kadar penghunian stabil

Bagi prospek, firma penyelidikan itu kekal positif dengan panduan pengurusan yang menunjukkan permintaan penyewaan sihat, kadar penghunian stabil hingga bertambah baik serta pembaharuan kadar sewa yang positif.

 

Bagaimanapun, REIT runcit dijangka berdepan normalisasi margin pendapatan operasi bersih (NPI) daripada paras kukuh pada 1H26. 

 

Ini berikutan perubahan pelarasan bahan api automatik (AFA) daripada rebat kepada surcaj sejak Mei, yang dijangka sebahagiannya mengimbangi penjimatan kos elektrik susulan semakan tarif pada Julai 2025.

 

Sebaliknya, REIT industri dijangka kekal agak terlindung memandangkan pendedahan lebih rendah kepada kos utiliti.

 

Dari segi kadar faedah, RHB Economics menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) kekal pada 2.75% sehingga 1H27.

 

Analisis sensitiviti firma itu menunjukkan kenaikan 25 mata asas dalam kadar faedah akan mengurangkan pendapatan FY27F sehingga kira-kira 2%.

 

“Secara keseluruhan, kami menjangkakan tekanan tersebut kekal terkawal, manakala asas penyewaan yang sihat sepatutnya mengekalkan keterlihatan terhadap pendapatan dan agihan,” katanya.

 

Sementara itu, firma berkenaan mengekalkan penarafan OVERWEIGHT terhadap sektor M-REIT dengan Axis REIT dan Pavilion REIT sebagai pilihan utama. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved