
SERDANG - Kontrak syarikat baja boleh dibatalkan jika mereka berulang kali gagal menunaikan tanggungjawab, sekali gus menyebabkan kelewatan penghantaran baja kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Serentak dengan amaran itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti proses pengagihan baja tambahan sebatian atau Baja 3.
Menurut beliau, ia bagi mengenal pasti punca kelewatan serta memastikan sama ada berlaku sebarang ketirisan.
“Saya tidak tahu syarikat mana. Saya katakan, kalau syarikat ini berulang kali melakukan kesilapan, batalkan (kontrak) dan ambil syarikat baharu. Jangan jadikan pesawah dan petani sebagai mangsa.
“Ambil tindakan. Kalau perlu didakwa, biar SPRM masuk campur. Saya sudah minta SPRM masuk dan meneliti proses ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), hari ini.
Tegas Perdana Menteri, kerajaan perlu mengenal pasti syarikat yang diberi tanggungjawab membekalkan baja berkenaan, selain meneliti sama ada syarikat itu telah memenuhi kewajipannya.
Katanya, tindakan juga perlu dikenal pasti sekiranya syarikat berkenaan gagal melaksanakan tanggungjawab diberi.
“Saya ingin menyentuh mengenai pengagihan baja di Kedah. Kita melihat berlaku kelewatan dan sekali lagi pesawah menjadi mangsa. Mereka bangkit dengan kemarahan dan saya menerima memorandum bantahan daripada mereka.
“Jadi, kita perlu mengetahui apa puncanya, syarikat mana yang diberi tanggungjawab, sama ada mereka menunaikan janji atau tidak dan jika gagal, mengapa tiada tindakan diambil terhadap mereka?” katanya.
Anwar memberitahu, beliau telah menerima memorandum daripada wakil pesawah dan mahu isu berkenaan diselesaikan bagi mengelakkan kelewatan sama berulang pada masa hadapan.
Bulan lalu, dilaporkan kira-kira 40,000 daripada 60,000 pesawah di kawasan MADA berdepan risiko terjejas selepas masih belum menerima baja tambahan berkenaan.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan telah menamatkan perkhidmatan syarikat yang bertanggungjawab membekalkan baja tersebut susulan kelewatan penghantaran.
Beliau berkata isu itu dijangka dapat diselesaikan selepas baki bekalan berkenaan diagihkan oleh MADA kepada pesawah dalam tempoh 10 hari.
Dalam perkembangan lain, MAHA 2026 merekodkan kehadiran seramai 4,296,662 pengunjung sepanjang penganjuran selama 10 hari, termasuk 1.72 juta golongan belia.
Jumlah jualan langsung yang dicatat sepanjang pameran itu pula mencecah RM66.88 juta.
Mohamad berkata, MAHA 2026 turut menghimpunkan kira-kira 2,000 pempamer tempatan dan antarabangsa, selain menghasilkan memorandum persefahaman (MoU) membabitkan kerjasama strategik serta potensi pelaburan bernilai kira-kira RM10.35 bilion.
Menurut beliau, pencapaian tersebut selari dengan usaha kerajaan memperkukuh sektor agromakanan negara selain mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap import.
Mohamad berkata defisit perdagangan agromakanan Malaysia susut sebanyak RM5.4 bilion atau 13.8 peratus pada 2025 berbanding tahun sebelumnya.
Trend penurunan itu diteruskan apabila defisit berkenaan mengecil lagi sebanyak 26.4 peratus dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
“Pada 2025, nilai eksport meningkat 8.1 peratus kepada RM58.8 bilion, manakala nilai import menurun 1.1 peratus kepada RM92.7 bilion.
“Sebagai contoh, eksport nanas mencatat peningkatan sehingga tiga kali ganda berbanding tiga tahun lalu,” katanya. - Getaran, 6 September 2026






