Syarikat pembekal Baja 3 akan berdepan siasatan SPRM – Mohamad

LocalPolitics
6 Sep 2026 • 6:13 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Syarikat pembekal Baja 3 akan berdepan siasatan SPRM – Mohamad

PETALING JAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap syarikat pembekal yang gagal memenuhi komitmen penghantaran Baja 3 sehingga menyebabkan bekalan lewat diterima pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kedah.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, tindakan itu akan diambil selaras dengan peraturan serta terma kontrak yang telah ditetapkan.

Beliau pada masa sama menyambut baik arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti isu kelewatan pembekalan Baja 3 berkenaan.

Menurutnya, isu tersebut perlu disiasat secara telus dan menyeluruh bagi memastikan setiap persoalan berkaitan proses pembekalan dapat diperjelaskan.

“KPKM akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM bagi memastikan setiap persoalan berkaitan proses pembekalan ini dapat diperjelaskan.

“Berdasarkan rekod, syarikat pembekal gagal memenuhi komitmen penghantaran yang telah ditetapkan sehingga menyebabkan kelewatan bekalan kepada pesawah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kegagalan syarikat berkenaan bukan sahaja memberi kesan kepada pesawah, malah turut menjejaskan imej KPKM dan Kerajaan Madani.

Katanya, keutamaan kementerian ketika ini adalah memastikan baki bekalan Baja 3 dapat disalurkan kepada pesawah yang terjejas dengan segera.

“Dalam masa yang sama, keutamaan saya dan KPKM adalah memastikan baki bekalan Baja 3 dapat disalurkan kepada pesawah dengan segera.

“Pemantauan juga akan diperketatkan supaya masalah seperti ini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, Perdana Menteri mengarahkan SPRM menyiasat isu kelewatan bekalan baja kepada pesawah di kawasan MADA.

Ini kerana kata beliau kelewatan bekalan berkenaan menyebabkan pesawah menjadi mangsa, sedangkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh berulang.

Jelas Anwar, tindakan tegas termasuk pembatalan kontrak serta pendakwaan perlu diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku salah laku dalam proses pembekalan baja berkenaan.-KOSMO! ONLINE

The post Syarikat pembekal Baja 3 akan berdepan siasatan SPRM – Mohamad appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved