Tiga maut nahas di Karak: Rakan sifatkan mangsa ibarat keluarga

22 May 2026 • 2:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiga maut nahas di Karak: Rakan sifatkan mangsa ibarat keluarga
Muhammad Ammar ketika ditemui pemberita di pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Selayang pada Jumaat.
Image from: Tiga maut nahas di Karak: Rakan sifatkan mangsa ibarat keluarga
Tiga maut dalam kemalangan di Kilometer 34 Lebuhraya Karak menghala Kuala Lumpur berhampiran Kampung Sungai Chinchin, Gombak, awal pagi Jumaat.
Image from: Tiga maut nahas di Karak: Rakan sifatkan mangsa ibarat keluarga
Keadaan kereta jenis Volkswagen selepas merempuh bahagian belakang sebuah lori simen.

SELAYANG – “Kami sudah macam satu keluarga. Keluar jalan, makan sama-sama, pemergian itu mengejutkan."

Demikian luahan rakan kepada mangsa kemalangan maut di Kilometer 34 Lebuhraya Karak menghala Kuala Lumpur berhampiran Kampung Sungai Chinchin, Gombak, awal pagi Jumaat.

Penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Muhammad Ammar Al Harraz Mahathir, 24, berkata, dua rakannya iaitu Ameer Ashraf Khairul Annuar dan Adli Hakim Akberdin, masing-masing berusia 24 tahun, dikenali sebagai individu yang baik serta disenangi ramai.

"Saya mula kenal Ameer sejak 2023 semasa di kampus, manakala Adli pula merupakan rakannya sejak menuntut di Islamic International College (IIC), Taman Batu Muda.

“Ameer memang jenis yang suka ajak kawan keluar makan atau lepak walaupun secara spontan. Mereka juga aktif dengan kumpulan rakan-rakan yang minat kereta dan selalu bergerak bersama," katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Selayang pada Jumaat.

**media[3529358]**

Muhammad Ammar berkata, kali terakhir dia berhubung dengan Ameer selepas tamat kelas kira-kira jam 1 tengah hari, Khamis.

Katanya lagi, kedua-dua rakannya itu agak pendiam pada awal perkenalan, namun sangat mudah mesra selepas mengenali mereka dengan lebih rapat.

“Awal-awal memang nampak pendiam, tetapi bila dah kenal mereka sangat 'supportive' dan ringan tulang,” katanya.

Menurutnya, pemergian dua rakannya itu amat mengejutkan kerana mereka baru sahaja berhubung seperti biasa sebelum kejadian.

“Saya doakan mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan salam takziah kepada keluarga mereka,” ujarnya.

**media[3529357]**

Difahamkan, seorang lagi mangsa yang maut ialah sepupu kepada Ameer iaitu Afiq Jamal Abdul Nasir, 26, manakala seorang wanita yang parah iaitu Athirah Najwa Mohd Tajul Ashikin, 27, merupakan alumni sebuah universiti.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan tiga lelaki maut manakala seorang wanita parah selepas kereta jenis Volkswagen dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah lori simen di lokasi kejadian.