Kontroversi tajaan RM3 juta Terengganu FC: Mahkamah benarkan tuntutan terhadap ahli perniagaan meskipun tidak tandatangani perjanjian

LocalFootball
13 Nov 2026 • 11:56 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kontroversi tajaan RM3 juta Terengganu FC: Mahkamah benarkan tuntutan terhadap ahli perniagaan meskipun tidak tandatangani perjanjian Image from: Kontroversi tajaan RM3 juta Terengganu FC: Mahkamah benarkan tuntutan terhadap ahli perniagaan meskipun tidak tandatangani perjanjian liza13/11/2026 - 11:56 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Nov – Ketiadaan hubungan kontrak secara langsung tidak semestinya melindungi seseorang daripada tuntutan indemniti apabila wujud dakwaan penglibatan dalam sesuatu urusan seperti ditunjukkan menerusi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu dalam pertikaian penajaan RM3 juta membabitkan Kelab Bola Sepak Terengganu (TFC).

 

Prinsip itu menjadi antara asas keputusan mahkamah menolak permohonan ahli perniagaan, Suffian Muda untuk mengetepikan notis pihak ketiga yang dikeluarkan terhadapnya oleh Vearich International Sdn Bhd yang membolehkan tuntutan berkenaan diteruskan ke perbicaraan.

 

Pesuruhjaya Kehakiman, Yusrin Faidz Yusoff berpandangan hak mendapatkan indemniti bukan hanya terhad kepada hubungan berasaskan kontrak, malah boleh timbul daripada obligasi yang dikenakan undang-undang, prinsip ekuiti atau hubungan antara pihak terbabit, lapor FMT.

 

Bukan pihak dalam kontrak, tetapi berdepan tuntutan

Keputusan itu membuka ruang untuk mahkamah meneliti dakwaan Vearich bahawa Suffian mempunyai peranan dalam mengatur urusan penajaan TFC bagi musim 2024/2025, meskipun beliau bukan pihak yang menandatangani perjanjian berkenaan.

 

Vearich sebelum ini menandatangani perjanjian penajaan dengan TFC pada 1 April 2024, dengan komitmen menyediakan RM3 juta menerusi lima ansuran.

 

Sebagai balasan, syarikat itu dijanjikan manfaat komersial termasuk paparan logo pada jersi permainan TFC, pendedahan pengiklanan serta hak promosi membabitkan pemain kelab berkenaan.

 

Bagaimanapun, Vearich gagal membuat bayaran pertama RM1 juta sebelum memaklumkan kepada TFC hasrat syarikat itu untuk menarik diri daripada perjanjian berkenaan.

 

Dakwaan peranan orang tengah jadi pertikaian

Dalam pembelaannya, Vearich mendakwa syarikat itu sebenarnya hanya bertindak sebagai penaja proksi atau penama, manakala seorang lagi ahli perniagaan, Danial Malik Fisol yang turut dikenali sebagai Danial atau ScaleX, sepatutnya menjadi sumber sebenar dana penajaan, lapor FMT.

 

Vearich turut mendakwa Suffian memainkan peranan memudahkan rundingan dan memperkenalkan Danial sebagai individu yang akan menyediakan dana berkenaan.

 

Bagaimanapun, Suffian menafikan dakwaan itu dengan menyatakan beliau bukan pihak dalam perjanjian penajaan dan tiada asas undang-undang untuk dipertanggungjawabkan terhadap kegagalan Vearich memenuhi komitmen kontraknya kepada TFC.

 

Mahkamah bagaimanapun mendapati dakwaan mengenai peranan Suffian dalam urusan berkenaan membabitkan isu fakta yang tidak boleh diputuskan secara ringkas pada peringkat permohonan tersebut.

 

Perbicaraan perlu tentukan tanggungjawab pihak terbabit

Yusrin berkata mahkamah tidak sepatutnya menilai kredibiliti pemohon atau saksi defendan ketika mendengar permohonan interlokutori, khususnya apabila terdapat fakta yang masih dipertikaikan.

 

Sehubungan itu, mahkamah berpandangan isu berkenaan perlu diperiksa menerusi perbicaraan bagi menentukan sama ada terdapat asas untuk mengenakan tanggungjawab terhadap Suffian.

 

Mahkamah turut memerintahkan Suffian membayar kos sebanyak RM3,000 kepada Vearich.

 

Bagaimanapun, keputusan tersebut belum menentukan sama ada Suffian mempunyai liabiliti terhadap pertikaian berkenaan, mahupun membuktikan dakwaan penipuan atau salah nyata yang dikemukakan Vearich.

 

Ia juga tidak memutuskan sama ada Vearich bertanggungjawab membayar jumlah tajaan RM3 juta kepada TFC, dengan semua persoalan berkenaan masih perlu ditentukan menerusi proses perbicaraan.

 

TFC diwakili Hazri Haris, manakala Vearich diwakili Batrisyia Aida Radzali dan Radzi Pauze. Suffian pula diwakili Syed Yusuf Syed Zaid dan Abdul Jalil Salam Muhamad.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved