liza03/11/2026 - 12:00 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA TERENGGANU 3 Nov – Tasik Kenyir di Hulu Terengganu bukan sahaja menjadi destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi, malah kini menarik perhatian industri produksi antarabangsa apabila dipilih sebagai lokasi penggambaran program realiti survival terbitan FOX Entertainment iaitu Extracted.
Penggambaran program berkenaan dianggarkan membawa perbelanjaan kira-kira RM3 juta sepanjang tempoh empat bulan selain melibatkan kira-kira 350 kru produksi dan membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
Extracted merupakan program realiti berkonsepkan kelangsungan hidup (survival) yang menguji ketahanan fizikal dan mental peserta dalam persekitaran hutan belantara, dengan konsep pertandingan yang mempunyai persamaan dengan rancangan popular ‘Survivor’.
Menariknya, pemilihan Tasik Kenyir sebagai lokasi penggambaran memperlihatkan daya tarikan landskap hutan tropika Malaysia kepada penerbitan antarabangsa, selepas produksi berkenaan menjalankan penggambaran di Kanada.
Jana ekonomi tempatan
Kehadiran ratusan kru produksi turut memberi kesan kepada aktiviti ekonomi sekitar Kuala Berang apabila penduduk tempatan diberi peluang pekerjaan sebagai tenaga sokongan bagi memenuhi keperluan operasi penggambaran.
Penglibatan anak syarikat Kerajaan negeri Terengganu iaitu TI Properties Sdn Bhd menerusi kemudahan Marina Dome dan Pulau Poh turut menjadi antara komponen penting dalam menyokong keperluan produksi antarabangsa di Tasik Kenyir.
Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties, Awasi Mohamad berkata sebahagian tenaga kerja tempatan yang terlibat turut meneruskan pekerjaan bersama pasukan produksi, sekali gus membuka peluang pendapatan sepanjang tempoh aktiviti berkenaan.
“Limpahan ekonomi itu turut dirasai pengusaha bot, vendor makanan, pengusaha inap desa (homestay) serta penyedia perkhidmatan kereta sewa yang membekalkan keperluan kepada kru produksi.
“Perbelanjaan produksi kira-kira RM3 juta itu merangkumi pelbagai keperluan sepanjang tempoh penggambaran yang memberi manfaat kepada rantaian perniagaan dan perkhidmatan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Lokasi pilihan syarikat penerbitan antarabangsa
Selain manfaat ekonomi, penggambaran Extracted turut memberikan pendedahan kepada keunikan Tasik Kenyir, khususnya landskap hutan tropika dan persekitaran semula jadinya kepada penonton antarabangsa.
Perkembangan itu turut membuka peluang kepada Terengganu untuk meneroka industri produksi sebagai satu lagi segmen yang boleh menyokong aktiviti ekonomi negeri, selain sektor pelancongan sedia ada.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata penggambaran produksi seterusnya dijadualkan berlangsung dari Februari hingga Oktober 2027, sekali gus membuka ruang kepada kesinambungan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada komuniti setempat.
“Usaha menarik lebih banyak produksi antarabangsa ke Tasik Kenyir dijangka dapat memperluas penggunaan aset pelancongan negeri serta meningkatkan penglibatan pemain industri tempatan dalam rantaian perkhidmatan produksi,” katanya. - DagangNews.com






