
GEORGE TOWN – Jabatan Mufti Negeri menganjurkan Konvensyen Falak Negeri Pulau Pinang bagi memperluaskan pemahaman masyarakat terhadap ilmu falak dan kaitannya dengan kehidupan seharian.
Konvensyen bertemakan ‘Falak dalam Kehidupan’ itu akan berlangsung di Dewan Utama Pelajar (DUP) dan Padang Kawad, Universiti Sains Malaysia (USM), dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Fizik USM, pada 14 dan 15 Oktober ini.
Menurut kenyataan Jabatan Mufti Negeri, konvensyen berkenaan mengetengahkan ilmu falak daripada perspektif lebih luas menerusi seminar, aktiviti astronomi dan program interaktif untuk masyarakat.
“Pengisian utama ialah Seminar Falak yang membincangkan sejarah falak dari zaman Sheikh Abdullah Fahim sehingga kini, perkembangan sains angkasa serta integrasi ilmu falak dan pengurusan sumber laut yang lestari.
“Turut dibincangkan ialah aplikasi ilmu falak dalam kehidupan daripada aspek ibadah hingga teknologi, selain kearifan orang terdahulu dalam menentukan waktu tuaian serta hubungan antara falak, cuaca dan kehidupan manusia,” katanya di sini, hari ini.
Selain seminar, konvensyen turut menampilkan Himpunan Teleskop, Planetarium Bergerak, Bengkel Astronomi, Pertandingan Roket Air, Pertandingan Reka Cipta Rover dan pameran agensi.
Himpunan Teleskop akan berlangsung pada 14 Oktober bermula pukul 8 malam, memberi peluang kepada pengunjung mencerap objek cakerawala menerusi pelbagai teleskop dan meneroka langit malam secara langsung.
“Orang ramai dijemput hadir bagi mendapatkan pendedahan mengenai ilmu falak serta memahami kaitannya dengan kehidupan manusia, sains dan teknologi,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE
The post Konvensyen Falak Pulau Pinang dedah ilmu falak dalam kehidupan appeared first on Kosmo Online.






