Belanjawan 2027: Pulau Pinang harap berita baik untuk PTFC

LocalBusiness & Finance
7 Oct 2026 • 4:26 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Belanjawan 2027: Pulau Pinang harap berita baik untuk PTFC

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri berharap agar permintaan Pulau Pinang untuk menubuhkan Penang Technology Financial Centre (PTFC) dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan antara berita baik yang akan diterima menjelang pembentangan Belanjawan 2027, Jumaat ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, cadangan menubuhkan PTFC itu dikemukakan bagi menyokong kekuatan Pulau Pinang dan wilayah utara sebagai hab elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor negara.

“Jadi, kita berharap sangat selain daripada projek yang saya nyatakan tadi, Belanjawan 2027 ini juga dapat membawa berita baik khususnya berkaitan permintaan kita untuk menubuhkan PTFC,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri sebelum ini mengemukakan cadangan untuk menubuhkan Penang International Financial Centre (PIFC) kepada Kementerian Kewangan (MOF), namun, selepas beberapa siri perbincangan, nama dan fokus cadangan itu diubah kepada PTFC.

Katanya, perubahan berkenaan dibuat bagi memberi tumpuan kepada kekuatan negeri dalam sektor teknologi khususnya industri E&E serta semikonduktor yang turut melibatkan negeri-negeri lain di wilayah utara.

“Kewujudan PTFC penting bagi menyediakan akses kepada modal untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat tempatan mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Dalam hal ini, kita mahu lebih banyak syarikat pemula niaga dan PKS dalam sektor ini mendapat akses kepada kapital supaya mereka dapat mengembangkan operasi mereka,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri juga mempunyai senarai 10 projek keutamaan bagi pertimbangan Rolling Plan Kedua (RP2) 2027 menerusi RMK-13 yang dikemukakan kepada MOF pada Februari lalu.

Katanya, daripada 10 projek berkenaan, tujuh projek telah diterima untuk pertimbangan Kerajaan Persekutuan termasuk Pemetaan dan Penilaian Sumber Air Bawah Tanah di Pulau Pinang; Penang STEM Talent Blueprint dan cadangan membina Kompleks Pasar Awam Teluk Kumbar di atas Lot 908, Jalan Teluk Kumbar dan lain-lain.

“Semua projek ini penting kepada Pulau Pinang, namun, kerajaan negeri memahami bahawa kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan dan keutamaan perlu diberikan kepada projek yang dianggap perlu dilaksanakan dalam tempoh terdekat terlebih dahulu,” katanya.-UTUSAN

The post Belanjawan 2027: Pulau Pinang harap berita baik untuk PTFC appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved